web statsweb stats

Berita Terkini

9 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Guru Rela Tumpangkan Rumah Untuk Pelajar OKU Cemerlang Sukan

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Aug 2022 6:47AM

Siti Nor Shairah (tengah) bersama barisan guru SK Anak Ikan.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

BESUT - Demi memastikan agar seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terus melakar kejayaan dalam bidang sukan, sekumpulan guru di sini dengan rela hati menumpangkan rumah mereka untuk didiami anak istimewa itu.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Anak Ikan, Fauzi Hussin, berkata guru terbabit bersepakat membantu menumpangkan sementara Siti Nor Shairah Azman, 12, yang mengalami masalah pembelajaran, di rumah mereka secara bergilir-gilir sejak awal bulan ini bagi memudahkan pelajar itu ke sekolah dan menjalani latihan sukan.

“Pihak sekolah berbuat demikian memandangkan ibu murid tersebut, Siti Aishah Abdul Rahman, 31, terpaksa berpindah dari sini (Kampung Anak Ikan) ke rumah keluarganya di Pasir Puteh, Kelantan, setelah bapa murid itu, Azman Hassan, 48, maut dalam kemalangan jalan raya pada 27 Julai lepas.

“Tindakan itu tentu menyulitkan Siti Nor Shairah. Dia mempunyai bakat besar dalam sukan walaupun merupakan murid istimewa. Jadi guru-guru bersepakat secara sukarela menyediakan tempat tinggal selain turut memberi wang saku kepadanya,” katanya kepada Bernama di sini.

Fauzi berkata Siti Nor Shairah dinobatkan sebagai Olahragawati Terbaik Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Negeri Terengganu 2022 setelah mempamerkan pencapaian cemerlang dalam olahraga iaitu acara lompat jauh, 100 meter (m) dan 200m pecut serta merentas desa.

Seorang daripada guru yang menumpangkan sementara pelajar itu, Nor Safwanida Isa berkata bapa Siti Nor Shairah, yang bekerja kampung meninggal dunia dalam kemalangan ketika murid itu sedang mewakili negeri pada Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas Kebangsaan 2022 di Seberang Takir pada Julai lepas.

“Dia hanya sempat menyertai acara merentas desa berkumpulan, namun tidak sempat menyertai acara perseorangan kerana kejadian menimpa bapanya,” katanya mengenai anak sulung daripada lima beradik itu.

Sementara itu kisah keprihatinan guru-guru serta kecekalan Siti Nor Shairah mendapat perhatian seorang ahli perniagaan Mohamad Azlan Abdullah @ Ali yang berjanji untuk menyediakan tempat tinggal percuma buat pelajar itu dan keluarganya di Kampung Anak Ikan.

Menurut Mohamad Azlan, beliau sangat bersimpati dengan nasib keluarga pelajar tersebut dan dia mempunyai bakat besar dalam sukan walaupun serba kekurangan.

“Saya akan membantu membayar sewa bulanan rumah murid itu, agar ibunya dapat kembali tinggal berhampiran sekolah ini, di samping mengelakkan anak-anaknya yang lain tercicir dalam persekolahan,” katanya yang turut membawa pelajar bertuah itu bersiar-siar dengan helikopter yang disewa khas sebagai pembakar semangat untuk Siti Nor Shairah. - Bernama

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara