Tarikh yang dinanti-nantikan sudah tiba.
Pada hari ini, rakyat Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik setelah dua tahun 'terkurung' dan 'terkongkong'.
Cuba perhatikan di sekeliling anda?
Ada apa yang berbeza?
Masih sama?
Hakikatnya, ianya kelihatan seakan sama kerana COVID-19 masih di sisi.
Walaupun kita akan mula melihat pelancong kembali ke Malaysia, peralihan yang bermula hari ini sebenarnya hanya titik permulaan untuk membiasakan diri melangkah ke fasa gaya hidup yang normal, sebelum pandemik melanda.
Untuk rekod, pengumuman fasa endemik hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan kita masih belum pasti bilakah ini akan berlaku.
Untuk yang masih tidak jelas, kini hanya terdapat 1 SOP di Malaysia yang mengandungi 10 keperluan, iaitu:
i) Memakai pelitup muka ketika di tempat awam
ii) Waktu operasi mengikut lesen/permit
iii) Sentiasa menjaga kebersihan tangan
iv) Melakukan ujian pengesanan COVID-19 berdasarkan National Testing Strategy
v) Mereka yang disyaki atau disahkan positif COVID-19 wajib mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
iv) Menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan
vii) Memastikan penjarakan fizikal 1 meter, namun aktiviti solat jemaah di masjid/surau atau rumah ibadat lain boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal, tertakluk pada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan
viii) Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik di premis
ix) Memastikan kebersihan premis
x) Had kapasiti pekerja yang bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan dan rentas negeri dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi
Harus ingat bahawa tiada tindakan penguatkuasaan yang akan diambil dan garis panduan ini berdasarkan disiplin kendiri.
Benar kita semua dahagakan 'kebebasan' yang dinikmati sebelum ini.
Namun, akan ada mereka yang masih takut dan akan mengambil langkah-langkah tambahan dengan membuat garis panduan sendiri, yang mungkin masih ketat.
Lihat sajalah di sekeliling anda. Masih ada premis-premis termasuk pasar raya dan tadika yang masih mewajibkan pelawat mengimbas suhu badan walaupun sudah tiada keperluan.
Ada juga di antara mereka yang tidak jemu memakai pelitup muka di bawah dagu sejak bermulanya pandemik. Apa akan golongan ini lakukan selepas ini?
Disiplin kendiri sebenarnya sesuatu yang sangat subjektif dan bukannya sesuatu yang mudah diikuti semua.
Bukan senang untuk memaksa seseorang itu untuk membuat sesuatu tanpa kerelaan.
Hari ini merupakan permulaan bagi kita, rakyat Malaysia untuk menjaga disiplin dan memastikan bahawa rangkaian COVID-19 akan putus.
Tanggungjawab untuk menjaga diri dan komuniti kini berada di tangan kita.
Adakah anda bersedia?
Pearl Lee merupakan pengasas bersama dan pengarang urusan portal berita Twentytwo13. Hubungi beliau melalui Twitter @pearllee22 atau emel pearl.lee@twentytwo13.my