“You park kereta you di mana?” tanya seseorang dari belakang. Saya menoleh, seketika terlupa namanya, tetapi wajahnya memang saya kenal kerana kami pernah terbabit dalam satu projek Perdana berkaitan media.
Dia menghulurkan salam, saya menyambut dengan meletakkan tangan di dada.
“Alim sekarang,” perlinya.
“Covid,” saya menjawab ringkas.
“Mesti Wirda lupa nama saya,” dia kembali memperkenalkan diri.
“Tak ingatkah, saya Datuk Seri Hassan,” katanya.
“Kalau Wirda tak drive, saya boleh hantar balik?” sambungnya.
“Itu kereta saya,” sambil menunjukkan Mercedes Benz di halaman lobi hotel. “Yang warna putih. Baru sahaja beli tu,” ceritanya terus.
“Cantik,” saya memuji.
“Aku suka putih tetapi Ferrari aku warna merah, nampak lagi mewah, kan,” katanya lagi.
“Kalau aku tidak ada janji dinner dengan Tengku F… sure kita boleh sembang lama kan?” (tukar daripada saya, terus membahasakan aku).
“Sebab kami hendak bincang projek billion-billion. Nanti aku call, aku ada big project nak share dengan you, kita hi tea kat WOOBAR, okey.”
Saya menarik nafas panjang. Senak perut mendengar ceritanya. Itu baru beberapa minit saja. Sambil berjalan menghampiri kereta Vivaku, dalam hati menyebut, “Wirda belajar bertenang. Jalani hidup ini dengan penuh kegembiraan, jangan membandingkan hidup kamu dengan orang lain. Sebab hidup adalah perjalanan bukan pertandingan.”
Teringat petikan kata mutiara Dr. Hamka, “Kita harus memegang kemudi dan menjaga layar supaya kita tak karam digulung oleh ombak dan gelombang.”
Begitulah dia yang saya temui di hotel W tempoh hari. Sejak saya mula kenal dia, cakapnya sentiasa meninggi. Takut memikirkan dan mendoakan dia tidak digulung oleh ombak dan gelombang besar.
Bagi saya, saya berpegang kepada kata nasihat ini, ‘Berpijak di bumi nyata. Bila kita duduk di atas jangan pernah rasa bongkak. Bila kita duduk di bawah, jangan pula rasa terlalu merendah diri. Dan eloknya teruslah melihat ke bawah agar diri kita sentiasa sedar bahawa kita hanya berpijak dan menumpang di bumi Allah.
Kata seorang pujangga. ‘Biarlah kita nampak miskin tetapi tak ada hutang. Daripada berlagak kaya, tetapi hutang sekeliling pinggang.’
Dan dunia ini kecil sebenarnya. Rupanya Datuk Seri itu ipar kepada kawan kami dan kereta Mercedes putih yang dipandunya tempuh hari kereta iparnya dan Ferrari yang dikatakan itu pun bukan kepunyaannya.
Dia ada Mercedes tetapi yang usia kereta lebih 20 tahun. Saya terkedu, tetapi kenapa dan tujuan apa dia hendak berlagak?
"Topik yang menarik untuk you tulis dalam Getaran.my," teman mencadangkan.
Bercerita lanjut, teman saya yang satu ini memberitahu, ‘Tahu tak kak Wirda, ramai sangat 'founder' yang muncul di TikTok, di Instagram dan mengakui, hadiahkan suami/ hadiah isteri Ferrari, Maserati, Porsche, cuma bohongan sahaja.
Kadang saya tersenyum bila membaca kisah yang mereka paparkan di FB dan IG. Contoh kapsyen - “Hasil penat lelahku. Akhirnya impian tercapai.”
Satu lagi contoh kapsyen. "Kisah kejayaanku - Pengasas Kecantikan." Gambar berdiri di sebelah Ferrari. (a picture is worth a thousand words kan!).
“Tapi kami happy, it is a good business for us,” akuinya. Mereka kadang-kadang menyewa kereta ada juga sampai dua tiga bulan.
Ada juga sekadar untuk sesi bergambar untuk media dan ‘iklan’ dan ini penting. (Saya tidak mahu cerita hal sewa bag tangan, contohnya, kerana saya tahu kawan saya menyewakan menyewa tas tangan mewahnya kepada mereka ini.) Content mesti happening!
Di dunia tipu-tipu
Kamu tempat aku bertumpu
Baik jahat abu-abu
Tapi warnanya putih untukku - lirik lagu Yura Yunita
Sungguh di dunia tipu-tipu segalanya mungkin. Ramai tayang kereta mewah, tapi bukan dia tuannya. Tayang penthouse, kapsyen, ‘Dulu tinggal flat dua bilik, syukur sekarang di sini berkat jadi agen produk ini’.
Namun yang pastinya masih tinggal di flat, penthouse sekadar untuk helah bisnes. Sewa baju dan tas tangan mewah kawan, “Suksesku, kerana usaha yang tidak pernah kenal jemu. Terima kasih Allah kerana memberikan rezeki yang berlimpah kini.”
Lusa, baju yang disewa untuk hantar cucian kering pun tidak mampu. Allahu Akbar.
Pinjam kereta jiran, kemudian berlagak kereta sendiri
Terbaca keluhan seorang jiran memberitahu pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan. “Setelah beberapa bulan tinggal di kawasan perumahan yang agak mewah, satu hari jiran berbisik ke telinga suami.”
“Nanti saya tanyakan isteri,” balas sang suami. “Sebab kereta dia. Kalau kereta ini? (sambil menawarkan kereta Vios nya). Jiran menggelengkan kepala dan menunjukkan kereta mewah isterinya yang boleh memuatkan mereka enam beranak).
Suami memujuk sang isteri, “Mereka ada emergency kena bawa anak-anak semua balik, orang tua di kampung sakit.”
Isteri setuju…dan sebulan kemudian, ceritanya jiran meminjam lagi dan bila kerap sangat, sang isteri sangsi. Dipendekkan cerita, setelah menyelongkar media sosial, sang isteri terkejut dengan kapsyen terpampang, “Bawa anak-anak holiday dengan SUV kami.”
Dan keluarga ini memberitahu mereka mahu berpindah ke kawasan perumahan lain. Katanya, sang jiran mendesak mahu tahu di mana mereka akan tinggal.
Sang isteri takut, kerana si jiran yang tak pemalu ini, satu hari memberikan helah, mahu bawa makan dan sembang-sembang sebelum mereka berpindah. Beberapa hari kemudian sang isteri mendapati di Instagram jiran yang berlatarbelakangkan ruang tamunya, kapsyen, “Bila sofa baru… sayang pula nak lepak-lepak…”
“Takut pula bila kami pindah dia pula ambil gambar, 'And.. this is our new home.'
‘Tiada jalan singkat untuk kita sampai ke sesuatu destinasi yang sememangnya jauh.
Perjalanan tetap melibatkan langkah demi langkah dan tingkat demi tingkat.’
Jadi anak-anakku di luar sana, ingat kata-kata ini, kebanyakan orang gagal bukan kerana bodoh tetapi mereka gagal kerana melakukan kerja bodoh. Ingat, jika tujuan kita jelas, kita akan mencapai apa juga keinginan dengan mudah. Tidak perlulah hidup tipu-tipu. - Getaran, 30 Julai 2022