Tahun ini sememangnya tahun yang sayu buat Malaysia. Tak habis lagi bencana banjir, negara turut diserang kes taun atau kolera yang telah dikesan di daerah Petaling.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kolera ialah sejenis penyakit berjangkit akut yang menyebabkan cirit-birit teruk akibat pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan bakteria Vibrio Cholerae yang boleh menyebabkan kematian akibat penyahhidratan.
Kebanyakan kes kolera hadir tanpa bergejala. Mereka yang mengalami gejala pula, majoritinya mengalami gejala ringan atau sederhana, manakala sebahagian kecil mengalami cirit-birit berair dengan penyahhidratan parah.
Kolera juga adalah salah satu wabak tertua yang pernah dicatatkan dalam sejarah. Ia berkait rapat dengan akses air bersih yang tidak mencukupi dan sistem sanitasi. Kolera boleh merebak dengan pantas di kawasan tanpa rawatan kumbahan dan air bersih.
Mujurlah, majoriti rakyat Malaysia dapat menikmati air yang bersih dan selamat untuk kegunaan harian mereka. Namun pengesanan kes kolera di kawasan bandar negara kita menyedarkan masyarakat tentang kepentingan gaya hidup bersih dan penggunaan air yang sihat.
Baiklah, berikut kami lampirkan empat cara mencegah kolera dengan mudah, yang boleh anda lakukan dalam rutin harian untuk perlindungan tambahan bagi diri dan keluarga, lagi-lagi di musim banjir ini daripada jangkitan kolera dan penyakit bawaan air lainnya, seperti di bawah:
#1 Jaga kualiti air
Ramai antara kita pasti pernah mengalami ketiadaan bekalan air, sekali atau dua kali setahun. Kesukaran untuk melakukan rutin harian asas seperti mandi, memasak dan mencuci bakal terganggu akibat pemotongan bekalan air berkala ini.
Antara perkara yang boleh dilakukan bagi memastikan aliran air bersih yang berterusan di rumah ialah dengan menyimpan air bersih di dalam bekas tertutup. Ia bagi menghadapi kemungkinan senario bekalan air terputus tersebut.
Oleh itu, anda disarankan untuk memasang sistem penapisan air yang berkualiti tinggi untuk menghapuskan bendasing berbahaya di dalam air yang mampu menjejaskan kesihatan. Tak salah untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk menapis air sebelum kita menggunakannya.
#2 Minum air bersih
Walaupun semua rumah moden kini memiliki aliran air paip terawat, anda dinasihatkan untuk menjerang air paip tersebut terlebih dahulu sebelum diminum atau digunakan untuk masakan.
Menjerang air ialah cara tradisional yang sangat berkesan. Ia menjadikan air lebih bersih dan selamat untuk digunakan kerana ia membantu membunuh bakteria yang berbahaya kepada kesihatan kita.
Alternatif lain, anda juga boleh menggunakan air botol untuk tujuan minuman.
Anda juga harus memberi perhatian terhadap kebersihan semasa menyediakan makanan untuk mengelakkan penyakit bawaan air seperti sakit perut dan cirit-birit.
Pastikan anda membersihkan kawasan dapur secara rutin sebelum memulakan aktiviti memasak.
#3 Masak makanan dengan sempurna
Buat mereka yang gemar memasak, pastikan anda memasak makanan dengan selengkapnya ketika memasak makanan laut atau daging. Jika tidak disimpan dan dimasak dengan betul, ia boleh menyebabkan keracunan makanan.
Jika anda benar-benar mengidam makanan separa masak atau mentah, anda bolehlah mengunjungi restoran yang mempunyai kepakaran dan tahap kebersihan yang tinggi dalam penyediaan masakan seperti ini.
Nikmati hidangan daging yang selamat dan lazat tanpa perlu melalui proses penyimpanan, penyediaan dan memasak yang renyah! Paling penting, anda tidak perlu menanggung risiko yang mungkin memudaratkan kesihatan!
#4 Kerap basuh tangan
Kerap menjaga kebersihan tangan telah menjadi norma baru sejak penularan COVID-19. Ia salah satu cara mudah dan berkesan untuk mencegah penyakit. Membasuh tangan seharusnya diamalkan dalam kehidupan harian.
Apabila tangan bersih, ia sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan, lalu memastikan kebersihan dalam proses penyediaan makanan. Basuh tangan anda dengan teliti menggunakan air bersih dan sabun dengan tertib.
Selain tapak tangan, beri perhatian juga pada bahagian belakang tangan, celah-celah kuku dan antara jari-jemari anda. - Getaran, 24 Disember 2021
Semua gambar: Waterco