Sedar tidak sedar, kita sudahpun melangkah ke tahun baharu 2022. Sejak wabak COVID-19 melanda seluruh dunia pada 2020, masa seakan berlalu pantas.
Sekurang-kurangnya, tahun ini kita tidak lagi terpaksa ‘berkurung’ dalam kediaman masing-masing. Syukur negara ini memiliki rakyat yang cakna tentang vaksinasi dan pematuhan SOP.
Cukuplah bercakap soal wabak yang entah bila mahu menghilang ini, apa kata kita tekadkan tahun baharu ini untuk kebaikan diri sendiri? Apa azam tahun baharumu?
Nah, terutamanya untuk generasi milenial yang baru melangkah ke usia 30-an, berikut saya senaraikan lima nasihat untuk tahun baharu anda yang lebih cerah dan bermakna!
#1 Memandang perspektif baharu
Perkara paling penting sebaik melangkah ke usia 30-an ialah kesihatan mental anda. Ajari diri untuk selalu menghargai diri sendiri.
Kenali, fahami dan perbaiki pemikiran toksik. Kawal emosi, jangan biarkan ia memakan diri.
Hadapi semua perasaan gelisah tentang kelemahan diri sendiri. Sebenarnya kita semua memiliki kekuatan yang tidak pula dimiliki orang lain.
Fokus kepada kelebihan kita dan belajar untuk gembira.
#2 Katakan TIDAK
Biasakan berkata TIDAK tanpa perlu menerangkan apa-apa.
Sekiranya seseorang itu ‘terasa’ dengan batasan yang anda gariskan, itu masalah mereka. Berat terbaik untuk anda hilang (selain berat badan) ialah berat pandangan orang terhadap diri anda.
Pendapat orang tidak akan pernah berhenti. Pendapat mereka - walau ada yang positif atau negatif, bukan masalah anda.
Bebaskan dirimu. Teruskan kehidupan anda seperti biasa.
#3 Erti seronok
Definisi ‘keseronokan’ seseorang itu berlainan antara satu sama lain. Jangan sesekali merasa tertinggal dengan trend atau gaya hidup masa kini.
Ada sesetengah orang keseronokannya membeli-belah, mungkin keseronokan anda berbeza. Bersiar-siar di taman atau pantai, misalnya?
Atau mungkin bersendirian di kamar tidur sambil menghirup teh panas kala hujan renyai?
Perasaan menyenangkan itu tidak hanya mencakup keseronokan fizikal. Jika membaca buku membuat anda bahagia, lakukannya!
Keseronokan itu milikmu!
#4 Cinta? Apakah tandanya?
Sebelum berpasangan atau berkahwin, berbincanglah bersama pasangan anda tentang soal kewangan, trauma, sejarah kesihatan dan keluarga, rumah impian, karier, prospek pendidikan, pandangan politik, bucket list, destinasi pilihan dan apa sahaja yang terlintas di fikiran.
Kalau boleh, pastikan pasangan anda sekufu, bukan hanya dari segi pendapatan, malah pemikiran. Percayalah, modal cinta sahaja tidak pernah cukup melayari bahtera bahagia.
#5 Semangat 2022
Usia antara 15 hingga 30 tahun ialah era emas dalam kehidupan anda.
Jika anda jatuh, segera bangun dan belajar daripada kesilapan. Dongak kembali dan perbaikinya. Realiti ini pahit. Tidak semua hari cerah belaka. Jika anda mencintai, sedia untuk patah hati.
Akhirnya, anda akan sedar semua perkara itu yang akan membuatkan anda lebih perkasa.
Kesilapan dan kenangan lalu, biarkan ia berlalu. Ingatlah, tahun ini lembaran baharu. Senyumlah dan jalani dengan semangat yang baharu! - Getaran, 7 Januari 2022
Semua gambar: Pexels kecuali yang tertera