MR DIY, peruncit barangan dan perkakasan rumah terkenal tempatan, sekali lagi menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.
Kali ini, pasukan tanggungjawab sosial korporatnya, MR DIY Cares mengembara ke Kampung Gana, Kota Marudu, Sabah untuk mengedarkan barangan keperluan kepada 40 keluarga di sana.
Pasukan ini telah bekerjasama dengan Soroptimist International Club of Damansara (SID) dengan mengembara ke Sabah melalui jalan udara.
Kemudian, rombongan ini meneruskan perjalanan melalui jalan darat untuk menghantar barangan keperluan asas seperti untuk sabun, syampu, berus gigi, ubat gigi dan tuala wanita.
MR DIY Cares bersama organisasi bukan kerajaan dari Selangor itu bersusah-payah merentasi jalan darat selama lebih 2 jam sebelum sampai ke Kampung Gana.
Malah, rombongan ini turut menyumbangkan peralatan berkebun untuk projek tanaman organik bagi membantu penduduk kampung menjana pendapatan sampingan di kampung mereka.
Dalam sebuah program berasingan, para sukarelawan MR DIY Cares turut menyantuni mangsa-mangsa bencana banjir di Baling, Kedah.
Umum mengetahui, baru-baru ini negeri Kedah, khususnya daerah Baling dilanda Tragedi Baling iaitu banjir yang terburuk dalam sejarah negeri jelapang padi itu.
Sehubungan itu, DIY DIY Cares telah bekerjasama dengan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) bagi membantu meringankan beban mereka.
Rombongan ini mengagihkan makanan kering dan makanan dalam tin untuk 109 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir tersebut.
Mengulas lanjut tentang dua inisiatif itu, Pengerusi Kumpulan MR DIY, Datuk Azlam Shah berkata syarikatnya komited dalam membantu masyarakat yang memerlukan di seluruh negara.
“Usaha sama dengan SID dan YFBM membolehkan kami mengagihkan barangan keperluan harian kepada orang ramai dengan lebih berkesan.
“Terutamanya Kampung Gana, sumbangan kami diharapkan dapat membantu dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti yang boleh menjana pendapatan.
“Dalam keadaan serba mencabar ini, kami percaya adalah amat penting untuk syarikat dan organisasi menggembleng tenaga bagi membantu rakyat Malaysia,” ucapnya.
Tahun lalu, MR DIY berganding bahu dengan SID bagi mengagihkan 200 pokok pisang dan produk-produk penjagaan diri kepada 45 keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Kepong.
MR DIY turut menyumbang peralatan perlindungan diri, pelitup muka dan pelindung kasut hasil jahitan para pelarian dan ibu tunggal kepada Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Layari MR DIY untuk maklumat lanjut. – Getaran, 2 September 2022