Pelakon dan pengarah terkenal Nam Ron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan mengejutkan pencinta fesyen dan warganet apabila tampil di atas pentas peragaan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW 2021) Ahad lalu.
Dalam majlis itu, Nam Ron menggayakan persalinan jenama tempatan, Neonate Clothing Company yang dibuat khas untuknya.
Beberapa keping gambar dan video juga dikongsikan Nam Ron di media sosial rasmi miliknya sehingga mengundang respons yang pelbagai daripada warganet yang rata-ratanya teruja menyaksikan pelakon itu beraksi di atas pentas peragaan.
KLFW2021 adalah pengalaman pertama Nam Ron berjalan di atas pentas peragaan. Mengakui sedikit gementar pada awalnya, pelakon itu teruja melakukannya .
“Gementar ini bagus, kita tidak boleh terlalu tenang. Namun, jangan sampai perasaan gementar itu menghilangkan fokus sehingga membuatkan kita jadi kaku,” kata Nam Ron ketika dihubungi Getaran baru-baru ini.
“Pihak Neonate menghubungi dan memaklumkan kepada saya sebulan awal untuk menjadikan saya muse mereka. Muse bukan model tetapi pereka fesyen akan menghasilkan pakaian khas untuk muse masing-masing.
"Jadi saya pun terlibat untuk sesi fitting kerana mereka akan hasilkan busana tertentu sesuai dengan gaya saya,” katanya.
Siapa sangka Pengarah Filem Terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia 2019 itu sangat menggemari pertunjukkan fesyen.
Menurutnya, ada sesuatu tentang fesyen yang sangat menarik dan dekat dengan dunia lakon layar.
“Saya memang suka pertunjukan fesyen sebab baju-baju yang dihasilkan tidak akan jumpa di luar. Ini juga perkara yang sama kita tengok di Eropah. Sebagai pembikin filem, kita akan tengok bagaimana sesuatu rekaan itu boleh dipakai oleh mana-mana watak seterusnya mewujudkan kolaborasi bersama pereka fesyen di masa mendatang.
“Bila tengok model berjalan di pentas peragaan, kita fikir ia pekerjaan yang mudah tetapi sebenarnya tidak. Sebagai seorang pengajar seni teater, saya juga menekankan latihan berjalan yang tak semua orang boleh buat.
“Berjalan seperti biasa mungkin semua boleh buat, tapi berjalan di depan kamera dan orang ramai tidak semudah yang dibayangkan. Ramai pelakon baru ketika disuruh berjalan pun susah,” tambahnya.
Ditanya adakah ini permulaan untuk bergelar model selepas ini, Nam Ron ketawa kecil.
“Pada usia 50-an ini, saya mahu lakukan perkara yang menyeronokkan. Saya suka melakukannya (berjalan di pentas peragaan). Kalau ada peluang selepas ini, saya akan buat," katanya.
Neonate Clothing diasaskan oleh pelakon Karl Shafek yang menawarkan koleksi pakaian fesyen high-street untuk golongan muda.
Gambar: Instagram @_nam_ron_ dan @taufiqnadzri