Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan memanjangkan salah faham dan ketegangan yang berlaku di media sosial antara beberapa individu yang dikatakan daripada kelab peminatnya (Siti Zoners) dengan penyanyi Raja Nazrin Shah.
Raja Nazrin yang juga vokalis kumpulan Sekumpulan Orang Gila (SOG) sebelum ini pernah meminta supaya Siti Nurhaliza menegur sikap segelintir peminatnya yang dianggap keterlaluan dan bertentangan dengan nilai dan keperibadian yang ditunjukkan penyanyi kesayangan mereka.
“Saya tidak mahu jadi budak-budak. Sebab apa yang ditulis di Twitter itu bukanlah mewakili diri saya dan bukannya daripada kelab peminat saya sekalipun. Orang sahaja anggap begitu,” katanya ketika ditemui Getaran di majlis rumah terbuka CTDK Holdings baru-baru ini.
Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan memanjangkan salah faham antara beberapa individu yang dikatakan daripada kelab peminatnya (Siti Zoners) dengan penyanyi Vokalis kumpulan SOG.#GetaranMY | #Selebriti @SitiZones @CTNurhaliza11 pic.twitter.com/va5kV7Lrhx
— Getaran (@getaranmy) May 30, 2022
Pelantun lagu 'Purnama Merindu' itu juga berharap agar masyarakat akan saling menghargai karya anak seni tempatan tidak kiralah genre apa sekalipun.
“Muzik sebenarnya sangat universal dan istimewa. Apabila saya pergi ke luar negara untuk buat persembahan, mereka tidak faham bahasa yang saya nyanyikan. Namun mereka boleh menghargai muzik dan lagu tersebut. Jadi, itulah sifat muzik yang sebenarnya.
“Saya kira, kita perlulah saling menghargai dan itu jugalah yang saya terapkan di setiap persembahan dan lagu-lagu saya,” katanya yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam dunia seni.
Bukan itu sahaja, mengulas mengenai isu wajahnya menghiasi papan digital New York Times Square, ia adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh platform penstriman Spotify. Siti terpilih bagi mewakili lagu EQUAL Malaysia dan Singapura yang memupuk kesamaan wanita.
7 Malaysian Singers have made on Billboard New York Times Square for EQUAL Spotify monthly Campaign
— Ratu Balqis (@RatuBalqisah) May 19, 2022
Yuna, Layla Sania, Iman Troye, Dolla, Vanessa Reynauld, Aina Abdul, Siti Nurhaliza pic.twitter.com/ONigiItdBj
“Kalau boleh mintalah penjelasan daripada pihak Spotify contohnya. Kemudian barulah boleh berikan komen. Bila tersalah komen, maka terjadilah perkara yang tak seronok untuk didengar,” tambahnya.
Terdahulu, hanya dengan satu emoji, kecoh di laman Twitter apabila Raja Nazrin Shah yang dikatakan mempersoalkan kredibiliti beberapa penyanyi Malaysia yang muncul di papan iklan di Times Square, New York.
Siti adalah seorang daripada artis yang pernah muncul di papan iklan itu selain Layla Sania, Iman Troye, Dolla, Vanessa dan Aina Abdul.
Gara-gara itu, Raja Nazrin menimbulkan perasaan tidak senang beberapa individu yang dikatakan peminat Siti Nurhaliza atau Siti Zoners. - Getaran, 30 Mei 2022