Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui dia terpaksa jadi ‘garang’ selepas mengetahui kakaknya,Siti Saida dan adiknya, Siti Sairah yang kini sedang menyertai musim kedua, ‘Famili Duo’.
Menurut Siti, beliau menyedari dari awal mengenai keinginan kedua adik-beradiknya itu untuk menyertai program berbentuk nyanyian, sebelum mereka berkongsi mengenai penyertaan mereka di dalam ‘Famili Duo’.
“Sebelum Kak Ida (Saida) dan Sairah bagitahu saya, saya dah boleh agak dah, mereka mahu menyertai sebuah pertandingan nyanyian, tetapi tidak tahu bahawa ia program ‘Famili Duo’.
“Saya sudah boleh kesan sebab, tiba-tiba mereka belajar vokal, rajin membuat latihan, jadi saya fikir mesti ada sesuatu yang serius mereka ingin terlibat dalamnya.
“Jadi, selepas mereka memberitahu saya yang mereka ingin memasuki pertandingan ini, saya terus jadi garang dan nasihat mereka supaya membuat yang terbaik, tetapi saya tidak control mereka” katanya menerusi satu paparan di media sosial baru-baru ini.
Dalam pada itu, Siti turut mendedahkan, beliau memberi panduan kepada dua beradiknya itu dalam ‘Famili Duo’ ini.
“Saya sedar kami masing-masing dalam keluarga ini ada bakat tersendiri dan kami semua boleh menyanyi, dan ada kemampuan sendiri.
“Bila saya mendapati keinginan mereka untuk menyertai ‘Famili Duo’ ini, jadi saya bagi nasihat kepada mereka bahawa, mereka kena buat betul-betul. Saya tak nak lah nanti, tiada persiapan yang betul pulak.
“Jadi saya memberi panduan kepada mereka dan harap mereka membuat yang terbaik. All the best sisters, buat yang terbaik Kak Ida dan Sairah!. Jangan malukan orang Kuala Lipis,” ujar Siti bersemangat.
Pasangan penyanyi adik-beradik, Siti Sairah dan Siti Saida bergandingan dalam program realiti nyanyian 'Famili Duo' musim kedua.
Sementara itu, itu Siti Saida pula mengakui pada awalnya mereka agak takut untuk memberitahu keluarga tentang penyertaan mereka di dalam program tersebut.
“Paling takut nak beritahu adiklah, Datuk Siti. Sebab dia selalu beritahu saya kalau nak menyanyi sebab takut kena perli. Sebab dia selalu bagitau, Kak Ida kalau nak nyanyi kena betul-betul, kena konfiden, jangan malu-malu,” katanya.
Sementara itu, Siti Sairah pula memberitahu, akhirnya mereka dapat memaklumkan tentang penyertaan mereka itu di dalam group WhatsApp keluarga.
“Waktu itu, kami tengah cakap pasal pertandingan, jadi kami teruslah bagitau kami masuk pertandingan ini,” katanya pula.
Famili Duo musim kedua menemui penonton mulai 18 Disember 2022, setiap Ahad, 9.00 malam di TV3. Program yang menampilkan penyertaan selebriti popular yang digandingkan dengan ahli keluarga mereka bakal memasuki minggu keempat pada Ahad ini. – Getaran, 3 Januari 2023