Bekas vokalis kumpulan Raihan, Ustaz Nazrey atau nama sebenarnya, Nazrey Johani pernah menjadi bualan hangat selepas secara tiba-tiba mengundurkan diri dari kumpulan Raihan yang sedang meningkat popular ketika itu.
Namun, ramai tidak tahu bahawa bekas volakis utama itu, mengalami penyakit psoriasis sejak 17 tahun lalu.
Menurut Nazrey, penyakit kulit yang dihidapi bagi tempoh yang agak lama itu merupakan antara punca utama, membuatkan dia jarang keluar dan bertemu dengan orang ramai.
“Kalau dilihat, memang kulit saya seperti pucat, saya sebenarnya masih kurang sihat, dan keadaan saya ini tidak boleh terlalu panas mahupun terlalu sejuk.
“Masalah kulit saya ini, sebenarnya, sudah lama, saya menghidapinya sejak saya keluar daripada kumpulan Raihan iaitu tahun 2006 rasanya. Kesihatan saya ini sebenarnya, tidak boleh dijangka, ada masanya ia akan baik, ada kalanya dia teruk,” katanya.
Nazrey mendedahkan tentang penyakit yang dialami sejak 17 tahun lalu itu, ketika ditemui pada sidang media Konsert Saujana 25 Tahun, yang berlangsung semalam.
Jelas Nazrey lagi, dia menganggap semuanya ujian Allah SWT yang diberikan kepadanya ketika melakukan dakwah dan mencari dana untuk pembangunan sekolah tahfiznya.
“Saya reda dengan ketentuan Allah SWT, apa pun ujian Allah kepada saya, saya tetap akan meneruskan kerja-kerja dakwah, mencari sumber bagi menguruskan madrasah.
“Jika saya sihat, saya mampu, saya akan berjumpa dengan orang. Seperti hari ini, walaupun saya nampak sedikit pucat susulan suhu yang rendah membuatkan saya kelihatan tidak sihat kerana saya menahan kesejukan penghawa dingin sebenarnya.
“Kalau ditanya, berkenaan punca, saya tidak pasti. Namun apa yang doktor memberitahu saya adalah, psoriasis ini boleh disebabkan tekanan. Itu sahaja saya tahu,” tambahnya.
Dalam pada itu, Nazrey turut berkongsi, bahawa dirinya sentiasa mendapat banyak jemputan, namun tidak dapat dijayakan susulan keadaan kesihatan dirinya.
Tambah Nazrey, apa pun, jemputan daripada rakan-rakan nasyid membuatkan dia gagahkan diri untuk terbang dari Sabah ke ibu kota meskipun, kesihatan dalam keadaan tidak menentu.
“Jemputan bagi konsert Saujana 25 Tahun adalah sesuatu yang bagi saya ‘impossible’ jiak saya tidak menerimanya. Jemputan kawan-kawan dan sahabat seperjuangan, kalau tidak sihat pun, saya kena usahakan juga.
“Malah, saya berbesar hati sebenarnya, untuk membuat persembahan dengan rakan-rakan nasyid saya ini,” ujarnya.
Nazrey memberitahu dia berbesar hati dengan kemunculan di konsert Saujana 25 Tahun yang bakal diadakan di Zepp KL pada 5 Mac ini.
Dia bakal menyanyikan tiga buah lagi di konsert berkenaan, iaiatu dua lagu solo hasil ciptaan sendiri dan manakala satu lagi lagu bersama kumpulan Saujana. – Getaran, 27 Januari 2023.