Tampil buat pertama kali di hadapan umum dan pihak media selepas episod kontroversi Famili Duo minggu lalu, Sissy Imann mengakui luahan rasa kecewanya bukan gimik untuk melariskan album baharunya.
Selepas dilihat menangis di atas pentas sejurus menerima komen pedas daripada Mas Idayu, Sissy tampil membuat kenyataan berbaur kecewa dengan dirinya di media sosial.
Malah dia turut menjual album terbaru yang belum sempat dilancarkan secara rasmi pada harga RM20 sahaja untuk tujuan amal.
Album yang dirakam di Abbey Road Studios London tu telah pun habis dijual sehingga menimbulkan spekulasi bahawa dia sengaja menggunakan kesempatan ini sebagai gimik untuk melariskan albumnya.
"Kalau nak kata gimik, saya cuma jual album itu pada harga RM20. Bagi saya apa yang saya tulis di Instagram, itulah dia, bukan gimik. Harga RM20 itu, nak bayar kos penghantaran ke Singapura pun memakan harga yang lebih tinggi.
"Saya buat keputusan itu kerana saya rasa kecewa dengan diri saya sendiri. Saya rasa saya telah mengecewakan diri sendiri. Itu sahaja," katanya ketika ditemui pihak media selepas tamat konsert Famili Duo minggu ketujuh.
Ditanya adakah dia merasa malu dengan apa yang telah terjadi di atas pentas pada minggu lalu, kata Sissy dia mengambil pendekataan untuk tidak mahu berbicara tentang soal itu kerana ingin menjaga kesihatan mentalnya.
"Ia tidak bagus untuk kesihatan mental saya untuk bercakap tentang apa yang berlaku pada minggu lalu. Tak apalah. Yang berlalu itu, biarkan ia berlalu," katanya yang mahu memberikan tumpuan kepada minggu akhir.
Sissy turut memohon maaf kepada pihak media dan rakan-rakan yang cuba menghubunginya pada minggu lalu, namun tidak berjawab kerana masih dalam proses mencari ketenangan.
"Saya mohon maaf kepada semua. Saya hanya jawab panggilan Naim sahaja itupun selepas beberapa hari. Saya juga tidak menghubunginya sesiapa selama tempoh itu.
"Setiap orang ada cara tersendiri untuk memahami sesuatu perkara yang terjadi. Pada saya, saya perlukan waktu untuk proses tentang apa sahaja yang sedang berlaku pada waktu itu," ujarnya.
Ditanya adakah terdetik di fikirannya untuk menarik diri daripada pertandingan ini pada waktu itu, katanya perkara itu langsung tidak terlintas di fikirannya.
"Tidak. Kecewa itu ada, tetapi lebih kepada kecewa terhadap diri sendiri," jawabnya ringkas.
Pada konsert minggu ketujuh, Naim dan Sissy membawakan lagu 'Pening' nyanyian asal Datuk M Duad Kilau bersama Ezlyn. Persembahan mereka tidak dikomen oleh Mas Idayu sebalik hanya Ajai yang bersuara.
Namun kedua-dua juri telah memberikan markah yang tinggi buat pasangan ini sehingga melayakkan mereka mara ke peringkat akhir. - Getaran, 30 Januari 2023