Penyanyi yang popular dengan lagu Tergantung Sepi, Haqiem Rusli, 26, menafikan cakap-cakap netizen yang kononnya perkahwinannya dengan Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 21, bermasalah.
Dakwaan ini timbul gara-gara Haqiem dilihat jarang memuat naik foto bersama isterinya itu di media sosial. Bercakap kepada pihak media, Haqiem menjelaskan tidak semua perkara yang dilakukan oleh mereka berdua perlu dikongsi untuk tatapan umum.
“Hubungan kami baik-baik sahaja. Kami ada kehidupan sendiri dan tidak mungkin setiap hari ingin kongsi gambar bersama. Hidup ini bukan semata-mata untuk media sosial,” ulas Haqiem kepada pihak media.
Spekulasi atau gossip mengenai perkahwinan pasangan ini bermula apabila Sofea dilihat memadam gambar-gambar lama mereka di akaun Instagram. Bahkan, ada juga yang percaya krisis perkahwinan pasangan ini bermula apabila Anis mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung.
Mengulas berhubung perkara itu, Haqiem memberitahu dia sudah lali dengan kecaman dan pandangan negatif sejak mula berkecimpung dalam dunia hiburan.
“Saya mengambil pendekatan berdiam diri. Saya dah melalui kecaman dan pelbagai dugaan sejak bergelar artis. Sebelum berkahwin pun saya sedar peminat akan terus ambil tahu mengenai kisah rumah tangga kami. Selagi ia tidak menyentuh isu sensitif dan keterlaluan, saya tidak punya masalah,” ulas Haqiem.
Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada November 2021. Majlis perkahwinan mereka menjadi bualan ramai kerana ia melibatkan kos hampir RM7 juta. Selain menerima wang hantaran RM100,000, penampilan Anis pada majlis itu juga diserikan dengan barangan kemas Habib Jewels bernilai RM5 juta. - Getaran, 1 Oktober 2023