Penyanyi Shila Amzah, 34, dan suaminya, pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau Ubai, 26, pada Khamis mengumumkan bahawa Shila kini sedang berbadan dua. Berita gembira itu dikongsi menerusi satu rakaman video mengenai kisah suka-duka yang mereka lalui sepanjang tahun lalu.
Menurut Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 34, dia dan suami mengambil masa untuk berkongsi berita gembira tersebut kerana ingin memastikan proses kehamilannya berjalan lancar terlebih dahulu pada awal kehamilan.
“Ada sebab kenapa baru kami umumkan sekarang. Kami mahu pastikan kehamilan ini berjalan lancar pada peringkat awal. Doakan kami agar kehamilan ini dipermudahkan,” ujar Shila.
Pasangan berkenaan melangsungkan perkahwinan pada 5 Ogos 2023 dalam satu majlis yang diadakan di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur.
Mereka dinikahkan sendiri oleh bapa Shila, Datuk Amir Amzah atau ND Lala. Pada majlis itu, Shila menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 manakala hantaran dirahsiakan. – Getaran, 5 Januari 2024