Pengerusi Star Media Radio Group (SMRG), merangkap Lembaga Pengarah Star Media Group, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse menjelaskan keputusan menamatkan kontrak bekas penyampai radio, Tyzo, adalah keputusan beliau sendiri dan bukan kehendak Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin.
“Saya tak kenal Tyzo secara rapat, begitu juga dengan penyampai radio yang lain. Keputusan ini adalah business decision semata-mata.
“Adakah jumlah pendengar segmen Suria Petang meningkat selepas kemenangan Tyzo di ABPBH?
“Jawapannya adalah tiada perubahan dan itulah hakikatnya. Ini adalah keputusan saya kerana ini adalah tanggungjawab saya,” ujarnya kepada pihak media.
Dalam masa yang sama beliau juga mendedahkan Tyzo sendiri yang membuat permintaan supaya kontraknya cuma disambung selama enam bulan, sedangkan pihak Suria FM mahu menyambung selama setahun.
“Sebenarnya kontrak Tyzo tamat pada 9 Oktober 2023. Jadi dua bulan sebelum ia berakhir iaitu, Ogos 2023 kita ada berjumpa dengannya dan beritahu hendak menyambung kontrak selama setahun.
“Bagaimanapun, dia cuma minta selama enam bulan sahaja kerana dia ada perancangan lain.
“Pada pendapat saya, mungkin kerana dia baru saja memenangi Anugerah Bintang Popular pada Julai tahun lalu.
“Kami ulang banyak kali betulkah dia mahu kontrak enam bulan dan beri masa seminggu untuk dia fikir.
“Namun, keputusan Tyzo tetap sama dan sebab itulah kami sambung kontrak dia bermula 9 Oktober 2023 sehingga 9 Mac 2024.
“Selepas dari itu, dia juga tidak cuba untuk berjumpa dengan pihak kami. Jadi, saya buat kesimpulan Tyzo mungkin tidak berminat untuk terus bersama dengan Suria FM,” ulas beliau.
Pada masa sama, Datuk Aminuddin berkata, keputusan untuk menghentikan tugasan Tyzo dikonti adalah disebabkan tidak mahu melibatkan penyampai radio ini dalam rakaman program-program raya yang akan bermula dalam sedikit masa lagi.
“Saya berpandangan apabila Tyzo tidak akan lagi bersama Suria FM selepas 9 Mac 2024 nanti, adalah lebih baik dia menamatkan tugas lebih awal kerana proses rakaman program-program raya yang telah dirancang akan bermula dalam sedikit masa lagi.
“Walaupun begitu, pihak kami akan tetap membayar gaji Tyzo sehingga kontraknya berakhir,” ujar beliau.
@getaranmy Pengerusi Star Media Radio Berhad, Datuk Dr. Mohd Aminuddin bin Mohd Rouse menjelaskan keputusan menamatkan kontrak Tyzo adalah keputusannya sendiri, memandangkan Tyzo dilihat tidak berminat untuk memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada Mac 2024. #getaranmy #getaran #berita #viral #terkini #trending #semasa #tyzo #radio #fyp
♬ original sound - Getaran
Mengulas mengenai video yang tular di media sosial, Aminuddin berkata, video itu telah menyebabkan ramai yang meletakkan kesalahan kepada pihak Suria FM, khususnya DJ Lin.
“Apabila video ini menjadi viral, ramai yang mula bersimpati dengan Tyzo dan meletakkan kesalahan kepada sebelah pihak.
“Ramai yang kecam dan menuduh DJ Lin adalah penyebab dan bertanggungjawab atas penamatan kontrak Tyzo.
“Apabila difikirkan semula, yang menjadi mangsa di sini ialah DJ Lin. Ini kerana, bukan dia yang membuat keputusan.”
“Saya harap dengan penjelasan yang diberikan ini, isu ini boleh ditamatkan hari ini. Kami tidak mahu lagu memanjangkan isu dan kami juga tidak mahu mengambil tindakan undang-undang kepada Tyzo.
“Selepas ini, jika ada mana-mana pihak yang mengeluarkan komen-komen yang boleh dianggap fitnah, pihak kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” tegas beliau. Getaran, 19 Januari 2024