Selepas hampir dua minggu ‘berkampung’ di hospital, pelakon Zara Zya, 39, memaklumkan bahawa dia perlu menjalani pembedahan untuk membuang cyst dan fibroid dan juga memulakan rawatan untuk sakit di bahagian tulang belakang.
Perkara ini dimaklumkan oleh Zara menerusi satu perkongsian di akaun Instagram miliknya pada lewat malam Khamis.
Hantaran yang dimulakan dengan permohonan maaf itu turut menjelaskan bahawa dia sebenarnya hadir ke hospital untuk membuat pemeriksaan sakit arthritis, namun keputusan mendapati dia mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang lain.
“Dengan rendah diri, saya ingin mohon ampun dan maaf kepada semua yang saya kasihi. Sama ada kenal ataupun tidak. Jikalau saya ada menyakiti anda, maafkanlah saya.
“Esok, hari Jumaat yang mulia, saya akan menjalani pembedahan dan rawatan untuk buang cyst, fibroid dan facet joint injection. Sudah lama saya berkampung di hospital ni, hampir dua minggu.
“Pada awalnya hanya ingin buat pemeriksaan untuk sakit arthritis sahaja. Tetapi bersangkutan pula dengan masalah cervical facet & lumbar facet syndrome. Bukan itu sahaja, saya juga mempunyai cyst (Bosniak IV) di kidney kiri dan juga ada fibroid,” tulis Zara.
Dalam masa yang sama, Zara juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan saya. Jangan lupa untuk maafkan saya. Ujian ini daripada Allah S.W.T dan saya reda dengan semuanya,” ujarnya.
Zara ditahan di wad sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur bermula 27 Mei lalu. - Getaran, 31 Mei 2024
Foto : IG Zara