KUANTAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di Istana Abdulaziz, dekat sini, pagi tadi, selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jam 1.38 petang tadi.
Beliau yang menaiki kenderaan rasmi kerajaan negeri sempat menurunkan tingkap kereta dan melambai kepada petugas media sebelum beredar dari kawasan perkarangan istana berkenaan.
Difahamkan, Ahli Parlimen Bera itu menghadap Al-Sultan Abdullah bagi menyerahkan senarai cadangan Kabinet kerajaan Persekutuan yang baharu, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, Sabtu lalu.
Terdahulu pagi tadi, Ismail Sabri tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan dengan pesawat khas kira-kira jam 10.30 pagi sebelum diterima menghadap Al-Sultan Abdullah sekitar jam 10.53 pagi.
Turut menghadap Al-Sultan Abdullah ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang tiba di Istana Abdulaziz jam 11.30 pagi.
Semalam, Ismail Sabri mengadakan pertemuan selama lebih sejam bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) diketuai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di pejabatnya di Putrajaya.
Melalui kenyataan bersama antara Anwar, Mohamad dan Guan Eng selepas pertemuan itu memaklumkan gabungan blok pembangkang sedia mempertimbangkan jemputan Perdana Menteri menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Kata tiga pemimpin tertinggi komponen PH itu, pertimbangan terbabit adalah bagi memastikan keputusan dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi serta bukan sekadar tangkap muat kepada pandangan kerajaan semata-mata.
Pembangkang secara prinsipnya juga sedia memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usul undi percaya bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Anwar dilaporkan berkata, sokongan itu akan diberikan sekiranya dasar dan program dilaksanakan Perdana Menteri itu pro rakyat dan mampu menyelesaikan isu pandemik COVID-19. - Getaran, 26 Ogos 2021