KUCHING - Tindakan berani bot nelayan Vietnam menceroboh perairan negara dengan menangkap ikan tanpa kebenaran mengundang padah apabila mereka ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot berkenaan ditahan dalam Operasi Khas pada jarak lebih kurang 167 batu nautika di Timur Laut Tanjung Po di sini, pada jam 7.40 pagi.
Menurut beliau, bot itu cuba melarikan diri apabila dirapati bagi tujuan pemeriksaan dan geledah, namun berjaya dipintas dan ditahan oleh penguat kuasa.
“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen serta kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” katanya hari ini.
Zin Azman berkata, tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam berusia dalam lingkungan 19 hingga 45 tahun juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
“Bot dan kesemua kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel KOMTAS, Kuching untuk siasatan lanjut.
“Hasil tangkapan pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 1,300 kilogram, peralatan menangkap ikan, serta bekalan diesel lebih kurang 1,300 liter turut dirampas,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan mencecah RM600,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kesemua kru telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti,” katanya. - Getaran, 9 September 2021