KUANTAN - Proses pemberian dos pertama vaksin COVID-19 untuk 42,875 pelajar berumur 16 dan 17 tahun di Pahang, dijangka selesai menjelang hujung bulan ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pemberian vaksin kepada pelajar bermula hari ini adalah bagi membolehkan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai awal bulan depan berjalan lancar dan selamat.
"Kalau ikutkan (rekod), seramai 173,000 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun layak disuntik, tetapi pada hari ini (Isnin) kita selesaikan dahulu pelajar berumur 16 dan 17 tahun.
"Kita letakkan sasaran 80 peratus daripada pelajar sekolah di Pahang akan menerima suntikan sebelum bermulanya sesi persekolahan manakala pemberian dos kedua pula pada Disember nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat program imunisasi COVID-19 untuk remaja di Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini, hari ini.
Seramai 7,015 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun di seluruh Pahang menerima dos pertama COVID-19 hari ini.
Mengulas lanjut Dr Nor Azimi berkata, pengambilan vaksin COVID-19 mampu melindungi pelajar apabila berada di sekolah, kerana mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak boleh menerima imunisasi terbabit atas faktor kesihatan.
“Semua pelajar dari institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Agama Islam Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta institusi swasta termasuklah tahfiz, pondok dan madrasah persendirian, layak menerima suntikan vaksin melalui program ini.
“Kami masih dalam proses mengenal pasti dan mengumpul data berkaitan pelajar daripada sekolah yang tidak berdaftar dengan kementerian untuk disenaraikan dalam program berkenaan,” katanya.
Beliau memberitahu, pemberian suntikan berkenaan akan dilaksanakan di 72 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Pahang, melibatkan 22 PPV Awam, 44 PVV Institusi Pendidikan, dua PPV jangkauan luar dan 4 PPV Klinik Kesihatan yang telah ditetapkan di daerah masing-masing.
Selain pelajar sekolah katanya, remaja kelainan upaya (OKU), pelatih pusat pemulihan atau perlindungan dan remaja golongan rentan termasuk gelandangan turut tidak terkecuali daripada menerima vaksin tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan Dr Nor Azimi menjelaskan, pelajar berusia 12 hingga 17 tahun yang mempunyai masalah kesihatan atau komorbid sudah diberikan suntikan bermula Rabu lalu.
“Mereka ini disuntik di lima PPV iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas), Hospital Pekan, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Bentong.
“Sehingga kini, seramai 183 pelajar yang ada masalah kesihatan atau komorbid sudah menerima suntikan di hospital berpakar, terdiri daripada 165 penerima di Hospital Pekan dan 18 lagi di Hoshas,” katanya.
Tegas beliau, kerjasama ibu bapa dan penjaga dalam membenarkan anak mereka menerima vaksin berkenaan amat penting kerana ia menyumbangkan kepada usaha memerangi virus maut itu.
“Dengan bertambahnya bilangan pelajar mendapat imunisasi tersebut, maka liputan vaksinasi COVID-19 dalam populasi negeri ini dapat dipertingkatkan sekali gus membantu mengurangkan kadar jangkitan wabak berkenaan.
“Bagi pelajar yang menolak untuk menerima vaksinasi, kami di pihak kementerian sedia memujuk dan memberi pandangan, malah kaunseling juga akan diberikan kepada ibu bapa mereka,” katanya. – Getaran, 20 September 2021