BANTING - Jijik, kotor dan meloyakan.
Inilah keadaan di beberapa pantai di Selangor, menjadi mangsa sikap pengotor pengunjung dalam negeri yang datang beriadah dengan keluarga di sana pada hujung minggu lalu.
“Macam sudah hilang pedoman,” keluh seorang tukang sapu sampah yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah ketika tekun melaksanakan tugasnya di Pantai Kelanang, Isnin lalu.
Nadanya berang, namun wajahnya yang dibasahi peluh pula sarat menyimpan rasa hiba dan ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Mana tidaknya, hanya dalam masa dua hari sahaja segunung sampah sarap telah mengotori kawasan pantai berkenaan.
Selain daripada pakaian atau tikar getah berlumuran pasir, tin minuman dan bungkusan mengandungi makanan yang sudah basi adalah antara ‘bingkisan’ ditinggalkan pengunjung di lokasi tumpuan pelancong itu.
Lebih memualkan tekak, kepingan tiub kondom terpakai turut ditemui di persisiran pantai, sekali gus menjelaskan bahawa kawasan itu sering digunakan sebagai markas melakukan maksiat.
Aminah yang mula bekerja seawal 5.30 pagi jelas kecewa dengan senario dilihatnya, selepas sekian lama pantai tersebut bersih dari dinoda manusia.
“Kalau macam ini lebih baik tak payah buka langsung,” tambahnya, merujuk kepada kebenaran rentas daerah yang diumumkan kerajaan pada bulan ini.
Dia mengakui, gagal memahami mentaliti masyarakat yang sering mengambil mudah perihal kebersihan meskipun telah dua tahun dibelenggu pandemik COVID-19.
“Susah sanggatkah nak buang sampah dalam tong sampah yang disediakan?” soalnya sinis, sambil berusaha mencedok gumpalan sisa nasi basi dan beberapa pinggan plastik yang dibuang di dalam longkang di situ.
Hakikat sama melatari Pantai Morib yang terletak 6.3 kilometer dari Pantai Kelanang, turut kotor dan meloyakan.
Tinjauan Getaran mendapati, hanya ada tiga sahaja tong sampah yang disediakan di pantai itu dan ia sedia sarat dengan sampah sarap, malah ‘dikepung’ pula puluhan bungkusan menjijikkan.
“Ini pun nasib baik tukang sapu dah tolong kutip dan kumpulkan di satu tempat. Kalau tidak, bersepah segala sampah ini dibuang merata-rata,” kata seorang petugas kebersihan yang mengemudi trak pengangkut sampah.
Lebih meloyakan pula adalah sikap segelintir yang tanpa segan silu membuang sisa makanan seperti cendol, kepingan cincau dan hirisan buah lemon di satu kawasan di pantai tersebut.
Persisiran Pantai Morib turut dikotori dengan bekas minuman plastik, botol kaca minuman keras, selipar getah, pelitup muka dan juga alat mainan yang ditinggalkan pengunjung selepas selesai bersiar-siar di sana.
Apa yang lebih menghairankan lagi adalah, sikap pengunjung yang masih boleh bersiar-siar dan bermandi-manda dengan anak-anak mereka tanpa sebarang perasaan was-was.
Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama destinasi pelancongan di Selangor dicemari pengunjung susulan kelonggaran rentas daerah diberikan.
Dua minggu lalu, air terjun di Sungai Pisang, Gombak juga mengalami nasib yang serupa.
Anehnya, dalam tinjauan terdahulu di beberapa pantai di Port Dickson, Getaran mendapati bahawa hampir semua pantai di sana kekal bersih meskipun ia sesak dengan ratusan pengunjung. - Getaran, 29 September 2021