TENOM- Seorang lelaki warga China yang dilaporkan hilang sejak 1 Oktober lalu, ditemui tergantung pada sebatang pokok, semalam.
Mayat mangsa, Yang Ming Zhong, 37, yang merupakan pekerja di pusat pembinaan Empangan Mini Hydro Telekosang, ditemui sekitar jam 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, mangsa yang memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek ditemui dalam keadaan reput oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
''Pihak pengurusan tempat mangsa berkerja membuat laporan polis selepas rakan mangsa memaklumkan dia tidak pulang ke rumah.
"Sebelum kejadian tersebut, mangsa memberitahu rakannya bahawa dia ingin keluar untuk mencari kawasan yang mempunyai talian telefon," katanya di sini, hari ini.
Menurut Hasan, sebaik sahaja laporan polis diterima, pihaknya telah menggerakkan SAR, melibatkan 54 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Pangkalan Saba.
Operasi mencari dan menyelamat itu turut dibantu Unit Anjing Pengesan K9, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Hasan berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tenom untuk bedah siasat. Kes ini, tambahnya, diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Getaran, 8 Oktober 2021