KUALA LUMPUR - Pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan untuk melembutkan hati golongan anti vaksin supaya mengambil pelalian COVID-19 namun ia bagaikan mencurah air ke daun keladi.
Lebih memburukkan keadaan, golongan tersebut semakin berani mengkritik dan menyebarkan dakyah songsang mereka di media sosial.
Ia susulan kenyataan panas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memberitahu akan terus menyusahkan kehidupan golongan tersebut sekiranya masih berdegil.
Pakar Psikologi Universiti SEGi, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, tindakan tidak bertanggungjawab golongan anti vaksin itu yang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sebenarnya didorong oleh sikap mereka yang mementingkan diri sendiri.
“Nak kata degil macam tak sesuai. Bila kita kata degil, degil ini sebenarnya untuk anak-anak kecil yang tak mahu mendengar cakap, tak tahu baik dan buruk sesuatu perkara. Itu kita kata degil.
“Tapi orang dewasa macam mereka yang dah dikurniakan akal fikiran yang matang, boleh buat keputusan dan berfikiran secara rasional, kita tak kata degil. Ia lebih kepada mementingkan diri sendiri,” katanya kepada Getaran.
Menurut beliau, golongan tersebut masih boleh berfikir secara waras tetapi bertindak keterlaluan disebabkan pegangan kuat terhadap pendirian songsang mereka mengenai vaksin.
“Lumrah manusia, apabila dia dah percaya pada sesuatu, dia akan mencari bukti-bukti yang boleh membenarkan atau membuatkan pendapat mereka disokoh masyarakat.
“Jadi bila menteri kata nak menyusahkan mereka, maka itulah ruang dan peluang yang sangat ditunggu-tunggu. Maknanya inilah masanya untuk mereka ‘attack’. Bagi mereka, kalau nak buat kebaikan memang ada halangan, ada cabarannya. Dari segi psikologinya, dia dah tanam dalam diri untuk menegakkan apa yang dia kata itu betul. Kalau dia percaya A, itulah dia. Begitulah pola pemikiran mereka,” katanya.
Ketegasan Khairy itu ternyata menerima sokongan Mariani yang menyifatkan ia sebagai perlu dilakukan dalam menangani golongan anti vaksin.
“Dalam kehidupan bertamadun, kita ada sistem, malah di sekolah pun ada sistem sendiri. Kalau nak hukum pelajar pun bukan semudah itu, kena keluarkan surat teguran mesra pertama, teguran mesra kedua dan akhirnya barulah teguran ketiga.
“Bila teguran ketiga tidak didengari, maka tindakan diambil. Sama juga macam yang dilakukan menteri. Kita dah beri dia peluang, dah paparkan kebaikan vaksin di media sosial tapi masih berdegil juga. Bagi saya itu hak pihak berkuasa untuk ambil tindakan sewajarnya. Kita tak mahu nanti, negara kita yang sudah diancam COVID-19, didatangi pula wabak lain iaitu penularan idealisme negatif yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Dengan ketegasan itu, beliau berkata, golongan tersebut mungkin terpaksa akur dengan arahan kerajaan untuk mengambil vaksinasi.
“Sebenarnya agak sukar sebab sikap mementingkan diri sendiri ini dah menebal dalam jiwa mereka. COVID-19 pun dah hampir dua tahun tapi mereka tetap ada kumpulan yang kuat terutamanya di media sosial.
“Tapi dengan keadaan sekarang mana-mana tempat kita nak pergi kena wajibkan kita ambil vaksin. Kalau tak divaksin, kena buat ujian air liur dan kit itu tidak akan dibekalkan kerajaan. Nak tak nak kena beli sendiri. Jadi sampai bila mereka boleh bertahan. Nak tak nak, kena ambil vaksinlah. Diharap keadaaan itu dapat mengubah pola pemikiran mereka yang menolak vaksin sebelum ini,” katanya.
Melihat kepada sikap mementingkan diri sendiri golongan itu, Mariani tidak menolak ada dalam kalangan golongan tersebut yang ‘curi-curi’ balik ke kampung halaman masing-masing.
“Pastinya mereka curi-curi balik kampung. Tapi tidak mudah kerana pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa. Kalau mereka guna sijil vaksin palsu, maka tanggunglah akibatnya.
“Apabila mereka tak mahu divaksin tapi beritahu sudah buat ujian air liur dan polis nak bukti, jadi mereka kenalah tunjukkan bukti-bukti itu sebab itu pilihan mereka sendiri. Negara kita ada undang-undang, jadi terpulanglah. Kalau mahu terima akibatnya maka teruskanlah,” katanya.
Namun beliau menasihati golongan tersebut supaya prihatin terhadap keselamatan ibu bapa dan juga anak-anak kecil yang berisiko dijangkiti virus pembunuh itu.
“Ada mak ayah di kampung yang dah divaksin tapi anak-anak mereka anti vaksin. Saya minta kasihanilah mereka. COVID-19 itu benar, perkara ini realiti, mati itu pun benar, vaksin itu benar dan anti vaksin pun wujud.
“Jadi maksudnya, pandai-pandailah wujudkan gelembung selamat supaya bila kita balik kampung menemui orang tua, keselamatan diri dan orang sekitar tetap terjamin,” katanya. - Getaran, 18 Oktober 2021