KUALA LUMPUR - Genap seminggu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, namun masih ada segelintir parti bersikap acuh tak acuh mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Perkara itu turut diakui Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang juga penaung Volunteer for Community Engagement and Empowerment for COVID19 (VCEE19).
VCEE19 atau Pasukan Sukarelawan Komuniti (Penglibatan dan Pemerkasaan) Melawan COVID-19 turut membantu kerajaan memantau pelaksanaan pematuhan SOP pada PRN Melaka.
Berdasarkan pemantauan dibuat pasukan sukarelawan tersebut, Dr Zainal berkata, pelanggaran SOP kerap berlaku bermula dari hari penamaan calon.
“Betul memang ramai tak jaga SOP. Saya ada pasukan sukarelawan yang bertugas di sana sejak hari penamaan calon lagi, kami ada terima laporan mengenainya.
“Dari maklumat yang kami terima juga, memang banyak pelanggaran bukan sahaja di bilik gerakan, tetapi di kedai kopi dan juga ada kempen dari rumah ke rumah pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.
Beliau berkata situasi yang membimbangkan itu menunjukkan kebanyakan parti masih lagi menggunakan kaedah kempen secara fizikal.
“Ramai masih kempen guna cara lama. Sebagai contoh kempen walkabout, sepatutnya tidak boleh lebih daripada tiga orang tapi ada parti yang pergi secara beramai-ramai.
“Bila pergi ke kedai makan pula, mereka akan pergi dari satu meja ke satu meja. Itulah yang kita bimbang akan mencetuskan kluster baharu nanti,” katanya.
Dr Zainal turut berada di Melaka hari ini untuk meninjau tahap pematuhan SOP sepanjang tempoh berkempen di negeri itu.
Tegas beliau lagi, jika keadaan tersebut tidak terkawal, tidak mustahil akan berlaku gelombang keempat COVID-19 menjelang hujung tahun ini.
“Sebenarnya PRN Melaka ini menjadi satu ukuran bagi melihat sama ada orang ramai memahami tentang risiko berkumpul beramai-ramai ketika COVID-19 masih ada di sekeliling kita.
“Jadi kerajaan kena ambil tindakan tegas. Jika berlaku pelanggaran SOP, ambil tindakan segera bukan sahaja kenakan saman tetapi juga tutup premis.
“Tindakan penguatkuasaan perlulah dipertingkatkan lagi,” katanya.
Prihatin mengenai soal kesihatan awam, Dr Zainal turut menasihati orang ramai terutamanya parti politik supaya mengamalkan pematuhan SOP di tahap tertinggi.
“Memang betul kalau tak ikut SOP yang ditetapkan semasa PRN Melaka, kemungkinan risiko wujudnya gelombang baharu itu ada. Jika itu berlaku, tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.
“Mungkin bagi parti politik soal denda bukan isu besar tetapi kesihatan awam perlulah diberikan keutamaan sepanjang tempoh berkempen. Harus diingat, PRN ini semua tertumpu di sini,” katanya.
Setakat semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham menerusi ciapan di Twitternya memaklumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di negara ini terus meningkat kepada 1.05.
Nilai Rt merujuk kepada bilangan individu yang akan dijangkiti oleh seseorang menghidap COVID-19.
Menurut perkongsian Dr Noor Hisham, negeri dan wilayah yang mencatat nilai Rt melebihi 1.0 ialah Putrajaya (1.20), Kuala Lumpur (1.05), Selangor (1.04), Negeri Sembilan (1.03), Pahang (1.01) dan Kelantan (1.0). - Getaran, 14 November 2021