web statsweb stats

Berita Terkini

2 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Warga Emas Jadi Mangsa Eksploitasi Kewangan, Dipujuk Anak Keluar Wang KSWP

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Jul 2022 11:00AM

Menurut kajian Universiti Malaya, 1 daripada 10 warga emas adalah mangsa penderaan. - Gambar hiasan pixabay

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Penderaan atau pengabaian warga emas boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira di pusat jagaan orang tua atau di kediaman masing-masing.

Pengurus Besar Homage Malaysia, PC Gan mendedahkan, kes yang kerap berlaku membabitkan golongan terbabit sejak kebelakangan ini adalah eksploitasi kewangan.

Katanya, kebanyakan warga emas dipujuk atau dipaksa membuat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh anak sendiri dan kenalan rapat, sebelum ditinggalkan di rumah orang tua.

“Sebagai contoh, kes penderaan atau pengabaian warga emas yang sering didengari menyaksikan anak memujuk atau memaksa ibu bapa untuk membuat pengeluaran dana KWSP demi kepentingan diri mereka sendiri.

“Maklumat ini tidak merujuk kepada pelanggan atau syarikat kami tetapi berdasarkan kajian Universiti Malaya (UM) yang mendapati, satu daripada 10 warga emas adalah mangsa penderaan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Getaran.

Pandemik COVID-19 jelas beliau, turut menyebabkan jumlah eksploitasi kewangan terhadap warga emas meningkat lebih banyak.

Gan berkata, peningkatan itu antara lain didorong tekanan kewangan dialami penjaga utama warga emas terbabit.

“Masalah kewangan dan komitmen yang terlalu banyak boleh menyebabkan pengabaian warga emas sama ada secara sengaja atau tidak. Menguruskan warga emas bukanlah mudah dan ia tanggungjawab yang sangat besar.

“Ini terutama sekali apabila mereka sudah tidak lagi boleh berdikari dan memerlukan penjagaan sepenuh masa. Tidak dinafikan, tekanan harian dihadapi keluarga waris juga dapat menyumbang kepada kerapuhan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata, tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai isu penderaan dan pengabaian warga emas ketika ini malangnya masih lagi rendah.

“Kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak mungkin lebih kerap didengari di Malaysia, tapi berbeza pula dengan penderaan warga emas. Ini kerana ramai warga emas di luar sana malu dengan keadaan mereka sendiri dan tidak mahu membebankan keluarga tersayang.

“Mereka juga mungkin sering menyalahkan diri sendiri atas kegagalan mendidik anak-anak dengan baik. Malah ada ahli keluarga dan penjaga yang tidak menyedari kesilapan dilakukan,” katanya.

Tegas Gan, warga emas berhak bersuara jika mereka merasa diabai atau didera ahli keluarga sendiri.

“Ini membuka jalan bagi mereka untuk berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau organisasi yang menyediakan bantuan.

“Di Homage, kami mengamalkan sikap toleransi sifar terhadap penderaan warga emas dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kebajikan warga emas terus dipelihara,” katanya.

Pengabaian dan penderaan jelas Gan, kebiasaannya mendorong warga emas untuk sering menyendiri dan menunjukkan perubahan dari segi tingkah laku.

“Bagi kes teruk, warga emas terbabit mungkin mengalami perubahan fizikal atau mental yang ketara. Kita mungkin lupa ibu bapa atau warga emas di luar sana juga pernah memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga suatu ketika dulu.

“Mereka pernah tergolong dalam kalangan profesional yang mempunyai peranan penting masing-masing. Kesan penuaan itu amatlah sukar dihadapi terutama sekali apabila mereka dianggap sebagai individu lemah atau tidak berupaya dalam sekelip mata,” katanya.

Susulan itu, Gan menggesa kerajaan supaya menyegerakan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas bagi melindungi hak golongan tersebut, terutamanya dalam isu pengabaian dan penderaan.

“Lima belas peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia akan mencecah usia 65 tahun ke atas menjelang 2030, jadi kerajaan seharusnya mempercepatkan peruntukan dan pelaksanaan undang-undang untuk perlindungan pada usia tua.

“Realitinya, skim sedia ada juga tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan dan kehidupan seharian mereka. Fasiliti kesihatan dan kebajikan juga masih rendah berbanding piawai antarabangsa,” katanya.

Mengakui Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya dalam menuju negara tua, Gan berkata, kerajaan perlu memperkukuhkan perlindungan sosial khusus untuk warga emas sebagaimana diwajibkan di Jepun, Korea dan Jerman.

Katanya, kerajaan juga disaran agar mempertimbangkan pelaksanaan skim pencen insurans sosial seperti dicadangkan Institut Kajian Khazanah.

“Konsep anuiti hayat ini mewajibkan generasi muda atau mereka yang sudah bekerja untuk membuat caruman dan melayakkan setiap individu menerima bantuan penjagaan berpanjangan, sama ada bantuan ringan atau penjagaan rapi.

“Dana ini dibina dalam kalangan masyarakat Malaysia dan bukan simpanan persendirian. Sistem perlindungan ini membolehkan warga emas untuk kekal berdikari lebih lama dan melengahkan keperluan penjagaan insentif yang juga berkos tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Gan berkata, kerajaan harus menambahbaik dan membangunkan infrastruktur penjagaan warga emas terutama bagi mereka yang tinggal bersendirian.

“Ini termasuk kempen kesedaran bagi orang ramai, kemudahan dan perumahan untuk warga emas dan peluang pekerjaan atau pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan kesejahteraan hidup di setiap peringkat umur.

“Secara kesimpulannya, masih banyak usaha perlu dilakukan semua pihak sebelum kita bersedia mencapai status negara tua pada 2030 mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Gan berkata, orang ramai di negara ini masih mempunyai persepsi negatif mengenai amalan menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan warga emas.

“Saya juga mempunyai pendapat yang sama. Selagi saya mampu menjaga ibu bapa sendiri, saya akan memastikan mereka terus tinggal bersama kami sekeluarga.

“Pusat penjagaan warga emas atau jagaan harian sebenarnya memberi pilihan kepada pelbagai jenis penjagaan yang sesuai untuk pihak keluarga dan warga emas. Jika diperlukan, ia juga memberi kemudahan kepada kedua-dua pihak untuk penempatan secara sementara,” katanya.

Namun tegasnya, Homage berpendapat bahawa penjagaan warga emas adalah tanggungjawab bersama antara keluarga dan penjaga profesional.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan kesejahteraan dan maruah mereka menjadi keutamaan semua pihak,” katanya. - Getaran, 14 Julai 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Warga Emas Rugi Lebih RM200,000 Terpedaya Skim Pelaburan Tidak Wujud

2

Semasa 5 hari yang lalu

Lelaki Dera Anjing Pernah Viral, Baling Kerusi Ke Arah Pelatih

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Warga Emas Maut Dipercayai Dibunuh Anak OKU Mental

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Akauntan Rugi Lebih RM2.2 juta Diperdaya Sindiket Pelaburan

Sorotan

1

Perlu Berani Tonjol Akhlak Islam Santuni Penganut Agama Lain – Anwar

2

Wanita Maut Ditelan Ular Sawa Di Sulawesi Selatan

3

Projek KIGIP Beri Limpahan Ekonomi, Selesaikan Isu Air Penduduk Sungai Bakap - Joohari

4

Bertrand, Nur Shazrin Pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Paris

5

Pemain Badminton China Zhang Zhi Jie Meninggal Dunia Selepas Rebah Di Gelanggang

Disyorkan untuk anda

Semasa 59 minit yang lalu

Allahyarham Mansor Puteh Pernah Derma Darah 631 Kali

Semasa 1 hari yang lalu

SPRM Tahan Pengarah Syarikat Disyaki Buat Tuntutan Palsu RM527,375

Semasa 20 jam yang lalu

Bekas Mufti Pulau Pinang, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Penerima Tokoh Maal Hijrah 

Semasa 21 jam yang lalu

Harimau Belang Mati Dilanggar Kereta Diawet – PERHILITAN