web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 2 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 2 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 6 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 6 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Kerajaan Rugi, Eksport Menurun Jika Laksana Ratifikasi CPTPP

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Oct 2022 8:31PM

CAP berkata hasil kajian CBA membuktikan bahawa penyertaan CPTPP hanya akan meningkatkan jumlah import, berbanding eksport dari Malaysia. - Gambar AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tindakan Kabinet bersetuju meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berisiko menambah kos kewangan negara, sekali gus memberi kesan negatif kepada ekonomi.

CPTPP adalah perjanjian perdagangan membabitkan 11 negara, iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam, Jepun, Australia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand dan Peru.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kebimbangan itu dilahirkan selepas pihaknya meneliti secara terperinci kajian analisis kos faedah (CBA) dikeluarkan PriceWaterhouseCoopers (PwC) milik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader

Katanya, hasil kajian itu juga membuktikan bahawa penyertaan CPTPP hanya akan meningkatkan jumlah import, berbanding eksport dari Malaysia walaupun China dan United Kingdom meratifikasi perjanjian tersebut. 

“Malaysia sudah mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan tiga negara destinasi eksport utama, iaitu Jepun, Singapura dan Australia yang menyumbang 84 peratus daripada eksportnya ke negara CPTPP. 

“Dengan meratifikasi CPTPP, eksport kereta Jepun ke Malaysia akan meningkat dan perkara itu mengatasi sebarang peningkatan dalam eksport Malaysia ke Jepun,” katanya. 

Terdahulu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, CPTPP bagi Malaysia akan mula berkuat kuasa pada 29 November ini. 

Jelasnya, Malaysia meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP pada 30 September 2022.

Menurut Mohamed Azmin, ratifikasi CPTPP bagi Malaysia dianggap selesai dan Malaysia adalah negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian ini.

Pada masa sama, Mohideen berkata, penyertaan perjanjian itu juga akan menyebabkan perolehan kerajaan serta perusahaan milik kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perlu diliberalisasikan secara meluas dengan sekatan ketat terhadap dasar kerajaan untuk membeli daripada pengilang dan pembekal domestik. 

Justeru, katanya, tindakan itu jelas bertentangan dengan pelan pemulihan ekonomi, seperti kempen Beli Barangan Malaysia demi meningkatkan pengeluaran produk tempatan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat. 

“Sejauh mana undang-undang serta dasar negara perlu diubah untuk membuka ekonomi Malaysia kepada CPTPP yang tidak diketahui MITI. Beberapa Akta Parlimen sudah dipinda, terutamanya undang-undang buruh yang boleh dilakukan tanpa meratifikasi perjanjian itu jika kerajaan komited terhadap hak pekerja. 

“CPTPP sudah mengenakan kewajipan peraturan di luar undang-undang, dasar, arahan, garis panduan dan lain-lain daripada negara asal yang perlu diselaraskan untuk membolehkan perniagaan asing beroperasi dengan lebih bebas di Malaysia, selain mengambil bahagian dalam ekonomi lebih besar. 

“Setahu CAP, kerajaan tidak mempunyai senarai semua perkara yang perlu diubah melalui ratifikasi CPTPP,” katanya. 

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, perkara itu jelas menunjukkan MITI secara konsisten, memperkecilkan pencerobohan besar ke atas kedaulatan negara dalam menerima hak pelabur asing yang membuka peluang kerajaan disaman, jika kepentingan keuntungan mereka terjejas akibat tindakan Malaysia. 

Sementara itu, Mohideen menegaskan, Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) menerusi perjanjian itu, mempunyai dasar sempit yang mampu memerangkap Malaysia membayar pampasan terlalu tinggi demi prosiding timbang tara swasta yang tidak telus, di samping memintas penilaian mahkamah negara dan akauntabiliti awam.

“Negara lain yang terperangkap dalam kes ISDS baru-baru ini terpaksa membayar pampasan berbilion. Kerajaan Amerika Syarikat tidak lagi menerima ISDS dalam perjanjian perdagangan mereka, walaupun mereka adalah peneraju dalam mendorong mekanisme tersebut. Terdapat perubahan dalam kalangan banyak kerajaan mengenai ISDS yang menjadikan CPTPP ketinggalan zaman.

“Malah CBA PwC menyatakan kos kepada kerajaan disebabkan kemungkinan tuntutan ISDS. Dari segi risiko penurunan, kerajaan mungkin perlu menyediakan dan memperuntukkan sumber kewangan untuk bertindak balas terhadap kemungkinan tuntutan ISDS.

“Adalah memalukan bagi kerajaan Malaysia untuk membawa negara ke jalan tidak menentu ini dalam masa pergolakan ekonomi dan hutang negara tinggi, dengan mendedahkan negara kepada tuntutan ISDS,” katanya. 

Mohideen menjelaskan, kajian CBA yang dilaksanakan MITI juga tidak memperincikan kesan negatif CPTPP, sebaliknya hanya mengulas perjanjian perdagangan bebas hipotetikal yang berbeza dalam pelaksanaan pemodelannya. 

“Dalam mendakwa bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan, upah dan hasil cukai Malaysia akan meningkat, CBA menggunakan andaian tidak realistik seperti guna tenaga penuh di Malaysia. 

“Malah, tiada perubahan dalam hasil kerajaan walaupun hasil tarif hilang kerana CPTPP memerlukan Malaysia menghapuskan semua tarifnya pada import dari negara CPTPP lain. CBA sendiri mengakui bahawa anggaran faedah berdasarkan pada tahap tertentu pada intuisi. 

“Sebagai contoh, parameter termasuk NTM (langkah bukan tarif) yang sukar untuk diukur. CBA juga mengakui bahawa ia mempunyai andaian atau ciri ‘yang mungkin tidak sepenuhnya mewakili ciri dunia sebenar’,” katanya. 

Tambah beliau, pihaknya mempersoalkan sekiranya MITI hanya bergantung pada laporan CBA yang bermasalah dan menjadi kebimbangan apabila bebanan itu, ditanggung rakyat hanya disebabkan kesalahan dilakukan kerajaan. 

“Sukar dipercayai bahawa MITI bergantung pada CBA yang bermasalah dan boleh disimpulkan secara jelas, laporan itu membuktikan ratifikasi CPTPP akan hanya menambah kos berbanding faedah diterima negara serta masyarakat. 

“Beban nanti akhirnya jatuh kepada rakyat untuk membayar kos keputusan tidak bertanggungjawab ini untuk meratifikasi CPTPP. CAP menyeru penarikan diri daripada perjanjian itu sebelum ia berkuat kuasa dalam 60 hari. - Getaran, 8 Oktober 2022.

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Pukul Pemandu E-Hailing OKU, Pengawal Pengiring VIP Didenda RM1,000

Semasa 1 hari yang lalu

Tekanan Berterusan Perlu Diberi Kepada Israel, Laksana Gencatan Senjata Dengan Segera - PM

oleh Sophia Ahmad

Luar Negara 1 hari yang lalu

Banjir Sepanyol: Tiada Rakyat Malaysia Terjejas - Wisma Putra