web statsweb stats

Berita Terkini

2 hari yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Tidak Rumit, Undi Pos Hanya Untuk Rakyat ‘Terpilih’

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Oct 2022 9:37PM

Undi pos dari Singapura ke Malaysia - Gambar Hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Undi pos merupakan kaedah dibenarkan Akta Pilihan Raya 1958 yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), bagi memudahkan golongan tertentu menjalankan kewajipan mereka untuk mengundi pemimpin pilihan masing-masing.

Kaedah undi pos terbahagi kepada tiga kategori besar iaitu pengundi dalam Malaysia, pengundi di luar negara dan pengundi agensi serta organisasi kerajaan yang terpilih.

Pengundian pos di dalam negara lazimnya diberikan kepada pengamal media, petugas pilihan raya serta anggota keselamatan yang tidak dapat hadir pada hari pengundian awal.

Namun, permohonan bagi kategori terbabit hanya boleh dibuat secara manual dengan menghantar Borang 1A ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihanraya di tempat pemilih mengundi.

Selain itu, agensi kerajaan yang dibenarkan melaksanakan kaedah undi pos adalah Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Jabatan Pendaftaran Negara dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagi undi pos di luar negara, individu yang ingin memohon perkara itu harus mendaftarkan diri sebagai pemilih dan tinggal di mana-mana negara kecuali Selatan Thailand, Singapura, Brunei atau wilayah Kalimantan, Indonesia.

Pemilih juga mesti pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, mereka perlu membuat permohonan rasmi kepada SPR dan suruhanjaya tersebut akan membuat tapisan untuk menentukan pengundi yang layak.

Permohonan undi pos bagi kesemua kategori telah dibuka sejak 10 Oktober lalu, dan dijangka ditutup beberapa hari sebelum penamaan calon.

 

Panduan Undi Pos

Khidmat penghantaran bagi pengundi luar negara adalah berdasarkan ketetapan yang telah ditentukan oleh negara bermastautin - Gambar Fail
Khidmat penghantaran bagi pengundi luar negara adalah berdasarkan ketetapan yang telah ditentukan oleh negara bermastautin - Gambar Fail

Pengundian melalui cara pos harus dilakukan secara teliti bagi memastikan kertas undi pemilih tidak ditolak SPR.

Setelah menerima kertas undi pos, pemilih harus memastikan nombor siri kertas undi adalah sama antara borang 2 dan sampul A.

Mereka dikehendaki untuk menandakan kertas undi, sebelum ia dimasukkan ke dalam sampul A dan digam secara cermat.

Setelah itu, pemilih wajib membaca dengan teliti arahan kepada pengundi’ di belakang Borang 2 dan melengkapkan semua butiran diperlukan.

Sekiranya pengundi gagal melengkapkan borang, kertas undi terbabit akan ditolak sepenuhnya oleh SPR.

Pengundi juga perlu memasukkan borang 2 yang siap diisi beserta sampul A yang mengandungi kertas undi ke dalam sampul B, sebelum ia digam dengan teliti.

Akhir sekali, sampul B tersebut harus dihantar segera dan dimasukkan ke dalam peti surat Pos Malaysia atau melalui serahan tangan kepada Pegawai Pengurus. 

Khidmat penghantaran bagi pengundi luar negara adalah berdasarkan ketetapan yang telah ditentukan oleh negara bermastautin.

 

Proses Undi Pos

Bagi proses pengiraan undi pos, ia dilakukan dengan prosedur ketat kerana kesemua sampul berkenaan hanya akan dibuka di hadapan ejen yang dilantik SPR - Gambar Fail Bernama
Bagi proses pengiraan undi pos, ia dilakukan dengan prosedur ketat kerana kesemua sampul berkenaan hanya akan dibuka di hadapan ejen yang dilantik SPR - Gambar Fail Bernama

Kertas undi pos akan mula dihantar kepada pemilih beberapa hari selepas hari penamaan calon, bagi memberi peluang kepada SPR menyiapkan kerja mencetak kertas berkenaan terlebih dahulu.

Seperti mana proses pengundian biasa, pengeluaran kertas undi bagi pengundi pos dibuat di hadapan ejen semua parti politik bertanding dan mereka turut diberi salinan senarai nama untuk rujukan.

Sebaik sahaja kertas undi dikeluarkan, nama pengundi akan dipotong daripada daftar pemilih dan proses ini juga dibuat dengan pemantauan ejen mengundi parti politik yang bertanding.

Atas faktor ini, tidak timbul isu mengundi dua kali oleh pengundi kerana nama masing-masing terlebih dahulu dipotong daripada daftar pemilih.

Selesai mengundi, pemilih akan menghantar sampul undian mereka yang perlu dialamatkan ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kawasan pengundian masing-masing.

Bagi proses pengiraan undi pos, ia dilakukan dengan prosedur ketat kerana kesemua sampul berkenaan hanya akan dibuka di hadapan ejen yang dilantik SPR.

Proses terbabit hanya akan dilakukan pada hari pengundian dan setelah dibuka, butiran pengundi khususnya nombor siri kertas undi akan disemak bagi memastikan hanya borang yang berjaya dilengkapkan pemilih diterima.

Ejen mengira undi boleh membuat bantahan dengan memfailkan petisyen pilihan raya sekiranya mendapati ada sebarang bentuk perbuatan culas sepanjang proses mengira undi dilaksanakan.

 

Undi Hari Pemilihan

Pemilih yang hadir perlu menunjukkan jari telunjuk kiri untuk diperiksa oleh KP1 untuk memastikan tiada sebarang tanda dakwat kekal di jari, sebelum ia dicelup oleh kerani pengundi kedua (KP2) - Gambar Fail
Pemilih yang hadir perlu menunjukkan jari telunjuk kiri untuk diperiksa oleh KP1 untuk memastikan tiada sebarang tanda dakwat kekal di jari, sebelum ia dicelup oleh kerani pengundi kedua (KP2) - Gambar Fail

Rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu melakukan semakan di portal rasmi SPR untuk mengetahui status pendaftaran mereka dan memastikan segala maklumat yang dikeluarkan adalah tepat.

Setibanya hari pengundian, orang ramai digalakkan hadir awal di tempat mengundi dan diwajibkan untuk membawa kad pengenalan sebelum menunjukkan ia kepada Kerani Penyemak Daftar Pemilih (KPDP) di Barung SPR pusat mengundi.

Selepas itu, dapatkan slip nombor saluran tempat mengundi dan beratur untuk menunggu giliran ke bilik mengundi yang betul dan telah ditetapkan.

Selepas dibenarkan masuk, serahkan dokumen pengenalan diri serta slip semakan, iaitu nombor saluran tempat mengundi kepada kerani pengundi pertama (KP1) agar nama pemilih ditanda, sebagai bukti kehadiran. 

Pemilih yang hadir perlu menunjukkan jari telunjuk kiri untuk diperiksa oleh KP1 untuk memastikan tiada sebarang tanda dakwat kekal di jari, sebelum ia dicelup oleh kerani pengundi kedua (KP2).

Dakwaan pengundi boleh mengundi lebih dari sekali jika dakwat kekal dihilangkan, adalah tidak benar kerana KP1 sudah menandakan nama yang sudah membuang undi.

Setelah jari ditanda dengan dakwat kekal, pemilih harus bergerak ke kerani pengundi ketiga (KP3) untuk mendapatkan kertas undi, sebelum beralih ke petak mengundi dan perlu memastikan tanda X diletak pada ruang bersebelahan logo parti politik mengikut pilihan masing-masing.

Paling penting, pemilih hanya dibenarkan memilih satu calon sahaja dan sekiranya berdegil, kertas undi tidak diterima kerana dikategorikan sebagai undi rosak.

Selepas itu, pengundi hendaklah melipat kertas undi kepada dua lipatan dan bergerak ke peti undi bagi memasukkan kertas berkenaan mengikut peti, sama ada Undi Parlimen atau Peti Undi Negeri.

Apa yang penting, pemilih wajib keluar pada kadar segera dari tempat mengundi demi melancarkan proses pengundian dan tidak mengganggu petugas SPR.

 

Undi Awal

Hanya anggota polis, pasukan gerakan am (PGA) dan tentera yang layak mengundi awal - Gambar Fail Bernama
Hanya anggota polis, pasukan gerakan am (PGA) dan tentera yang layak mengundi awal - Gambar Fail Bernama

Hanya anggota polis, pasukan gerakan am (PGA) dan tentera yang layak mengundi awal berdasarkan peruntukan peraturan 27A (1)(a)(b)(c)(d), Peraturan- Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 walaupun mereka turut dibenarkan untuk melaksanakan pengundian melalui pos.

Kaedah undi awal yang akan dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum hari pengundian PRU itu dilakukan di kem tentera serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) demi memudahkan dua agensi keselamatan itu membuang undi.

Apa yang membezakan kaedah ini dengan hari pengundian adalah waktu mengundi, kerana ia hanya dibuka dari jam 8 pagi sehingga 2 petang sahaja, berbanding undi biasa yang dimulakan pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 5 petang.

Proses serta cara pengundian awal adalah sama dengan kaedah pengundian biasa iaitu turut melibatkan kertas undi, peti membuang undi dan dilaksanakan di saluran mengundi ditetapkan SPR, yang akan dikendalikan oleh ketua serta kerani pusat mengundi.

Setiap pemilih harus menunjukkan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan atau kad perkhidmatan bagi tujuan pengesahan sebelum dibenarkan untuk membuang undi.

Pengundi juga diwajibkan untuk mencalit dakwat kekal pada jari telunjuk kiri sebelum kertas undi diberikan bagi memilih parti politik yang dimahukan untuk mentadbir negara. - Getaran, 27 Oktober 2022

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 2 jam yang lalu

Jumlah Mangsa Di Kedah Bertambah, Perak Dilanda Banjir Semula

Semasa 1 hari yang lalu

3 Maut, 5 Cedera Nahas 7 Kenderaan