KUALA LUMPUR - Jaminan diberi kerajaan untuk mengusahakan pelaksanaan Undi 18 pada masa terdekat menerima sambutan baik pihak berkaitan, khususnya pertubuhan bukan kerajaan yang selama ini giat memperjuangkan isu terbabit.
Persatuan Pengundi Muda (Undi 18) berkata, kesediaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menurunkan had usia semua pengundi di Malaysia.
Menurut pertubuhan itu, jaminan berkenaan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dianggap sebagai satu sokongan terhadap usaha mereka dalam memperjuangkan isu berkenaan selama ini.
“Kami amat berterima kasih atas kesudian pihak Menteri Belia dan Sukan untuk berkolaborasi dan berunding dengan organisasi belia di peringkat akar umbi, demi membawa suara anak muda ke peringkat Kabinet,” kata Undi 18 dalam satu kenyataan hari ini.
Serentak dengan itu pertubuhan terbabit menegaskan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu memberikan penjelasan berhubung garis masa pelaksanaan Undi 18.
Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, perbincangan jaminan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun itu dibincang dan disahkan dalam mesyuarat kabinet semalam.
Tambah beliau, kerajaan komited untuk melaksanakan Undi 18 sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.
“Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan perkara teknikal.
“Ia termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” kata Datuk Seri Takyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.
Selaras dengan itu, Undi 18 menggesa semua warga negara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas agar mendaftar sebagai pengundi dalam masa yang terdekat.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 4.4 juta rakyat disahkan masih belum berdaftar sebagai pengundi. - Getaran 29 April 2021