web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Pinda Garis Panduan Sedia Ada, Fokus Cerun Kritikal Kawasan Tumpuan Orang Awam

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 04 Apr 2023 7:00AM

Kejadian tanah runtuh di Batang Kali. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu meminda garis panduan sedia ada bagi memastikan agenda pengurusan dan penyeliaan cerun dapat dijalankan secara komprehensif.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, ‘pengubahsuaian’ itu perlu mengambil kira pelbagai faktor semasa, seperti keragaman iklim dan keperluan pembangunan di kawasan tanah tinggi.

Menurut beliau, penting untuk setiap cerun yang telah dikategorikan sebagai kritikal menjalani pemantauan secara berterusan oleh ahli geologi kejuruteraan dan jurutera geoteknikal bertauliah, bagi memastikan keadaan terkini setiap cerun stabil serta tidak menunjukkan sebarang ciri-ciri kegagalan.

“Namun demikian, kawasan yang tidak dikelaskan sebagai cerun kritikal tidak seharusnya dilepaskan dari aspek pemantauan sepenuhnya kerana beberapa kejadian besar sebelum ini membuktikan cerun sebegini berpotensi runtuh dengan skala yang besar dan memusnahkan dengan sekelip mata, seperti apa yang berlaku di Batang Kali dan Taman Bukit Permai, Ampang.

“Kawasan yang sinonim dengan kejadian terbabit banyak dilihat dalam sejarah tanah runtuh negara, malah jika saya tidak sebut secara spesifik sekalipun, orang ramai boleh meneka di mana kawasan yang berisiko itu, tambahan pula kawasan berkenaan merupakan lokasi tumpuan pelancong dan dilawati hampir setiap hari, saban tahun,” katanya kepada Getaran, hari ini.

Kejadian tanah runtuh di Batang Kali lewat tahun lepas. - Gambar fail
Kejadian tanah runtuh di Batang Kali lewat tahun lepas. - Gambar fail

Sehubungan itu, Nor Shahidah berkata, kerajaan juga perlu memantau tapak rekreasi atau tumpuan orang awam di kawasan perbukitan, terutamanya melibatkan lereng bukit serta berhampiran sistem sungai agar ia dilengkapi dengan sistem penstabilan cerun yang bersesuaian.

“Ia bagi meminimakan impak langsung bencana, terutama aliran puing yang berhalaju tinggi. Sistem penggera sebagai salah satu bentuk amaran awal juga perlu diperluas di kawasan tumpuan untuk membolehkan proses evakuasi ke tempat selamat dilakukan pada kadar segera. Jika perlu, tempat berisiko sebegini dihalang kemasukan sepenuhnya kepada orang awam pada waktu kritikal, terutama sepanjang musim monsun.

“Apabila kita bercakap dalam konteks tanah runtuh, kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dengan aktiviti sosioekonomi pesat, jatuh di dalam risiko tinggi jika kebarangkalian bencana berlaku.

“Oleh itu, kawasan sebegini amat kritikal dijalankan pengukuhan struktur cerun, malahan pemantauan cerun berkala perlu di buat dengan kerap tanpa menunggu sebarang ciri kegagalan muncul,” katanya.

Nor Shahidah berpandangan, sekalipun negara mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat khususnya bagi mengawal aktiviti di kawasan terlarang, namun pematuhan yang lemah daripada pihak terlibat, khususnya kontraktor serta pemaju menyebabkan mereka bersikap lepas tangan setelah projek pembinaan disiapkan.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang pada awal tahun lalu
Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang pada awal tahun lalu

“Adakala mereka ini lulus dari segi dokumentasi, tetapi pelaksanaan pula banyak yang tidak telus. Isu integriti membelenggu kebanyakan projek yang ada dan atas sebab itu, adalah tidak pelik jika kita lihat pada masa kini banyak kawasan sensitif alam sekitar mula diteroka untuk tujuan pembangunan.

“Kerajaan perlu lebih tegas memantau setiap projek dari mula hingga akhir bagi memastikan kontraktor atau pemaju yang terlibat patuh dengan garis panduan sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengharapkan agar cerun kritikal berada di bawah pemantauan ketat daripada kerajaan dan tidak melalui sebarang pembangunan bagi mengekang sebarang potensi kegagalan.

“Penting untuk orang awam faham bahawa kejadian tanah runtuh masih boleh berlaku pada mana-mana cerun sama ada kritikal atau tidak, memandangkan pergerakan tanah merupakan sebahagian daripada sistem dinamik bumi.

“Bagaimanapun, jika tindakan bersesuaian telah diambil, impak langsung ke atas manusia dapat dikurangkan dengan ketara terutama dari segi kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) baru-baru ini mengenal pasti sejumlah 221 cerun kritikal yang perlu diberi perhatian khususnya ketika musim monsun melanda.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kejadian di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali itu tidak akan terjadi kembali jika semua pihak mengambil serius pembangunan sesebuah kawasan, dengan memastikan tapak yang hendak dibangunkan berada dalam keadaan stabil, selamat dan tidak berisiko bencana geologi seperti tanah runtuh.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

Justeru, katanya, ahli geologi dimohon untuk sentiasa cakna dalam memastikan penduduk yang terdedah kepada bencana geologi ini diberikan cukup pengetahuan, agar insiden tidak diingini dapat dielakkan jika berlaku banjir atau aliran puing di masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, kelemahan serta solusi kerajaan dalam menangani 221 cerun kritikal perlu diperjelaskan kepada rakyat agar penduduk yang terdedah kepada bencana geologi itu diberikan cukup pengetahuan bagi memastikan insiden tidak diingini dapat dielakkan di masa akan datang.

Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo
Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo

Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) harus lebih cakna mengadakan hebahan susulan dan menambah baik cerun di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

“JMG mengelaskan 221 cerun sebagai kritikal ialah cerun buatan di kawasan pembangunan, seperti cerun di kawasan perumahan dan berhampiran dengan bangunan. Ia dikelaskan sebagai kritikal kerana telah mempunyai tanda ketidakstabilan.

“Jabatan kerajaan itu hanya memeta dan memantau cerun kritikal. Tindakan untuk menambah baik cerun adalah di bawah bidang kuasa JKR dan PBT. Saya harap maklumat cerun kritikal telah disampaikan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, kerajaan disarankan untuk menyediakan peruntukan besar bagi membaiki cerun kritikal dan ia perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Jelasnya, tiada keperluan untuk meminda akta serta enakmen sedia ada kerana ia telah cukup kukuh dalam mengawal sebarang salah laku tanah dan alam sekitar.

“Akta yang ada telah mencukupi, kelemahan kita ialah  kesedaran awam mengenai bahaya tanah runtuh dan tindakan menghindar bagi meminimumkan bencana. Tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan, agensi pemaju hartanah dan komuniti awam,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menegaskan sebarang pembangunan melibatkan kawasan berbukit dan cerun haruslah dirancang secara teliti dan perbincangan dengan pelbagai pihak perlu diadakan sebelum diluluskan oleh pihak berkuasa.

“Langkah terbaik untuk menghindari daripada kejadian seperti di Batang Kali berulang semula ialah komuniti yang tinggal berhampiran cerun kritikan perlu diberi penerangan dan maklumat.

“Adakan perbincangan, khususnya untuk mengenali tanda ketidakstabilan cerun, langkah menghindari daripada sebarang kerosakan harta benda atau risiko keselamatan awam,” katanya. - Getaran, 4 April 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 4 bulan yang lalu

Tanah Runtuh Papua New Guinea: Malaysia Sedia Bantu - Anwar

2

Semasa 5 bulan yang lalu

Bapa, 2 Anak Lemas Di Sungai Balak

3

Semasa 5 bulan yang lalu

PM Solat Jumaat, Hadir Jamuan Aidilfitri Bersama Warga Batang Kali

4

Semasa 5 bulan yang lalu

Anwar Ajak Rakyat Sertai Jamuan Raya Di Batang Kali Hari Ini

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia