PUTRAJAYA - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke diminta segera bertindak untuk menangani krisis melibatkan sektor perkapalan negara dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, LPK masih gagal bertindak walaupun pelbagai usaha sudah diambil pihaknya.
Menurut beliau, semua isu yang perlu diberi perhatian sehingga kini masih terbiar sepi, menyebabkan kerugian yang menyelubungi industri perkapalan tempatan semakin parah.
“Saya telah menghantar emel kepada YB Menteri pada 22 Januari berhubung beberapa isu yang masih gagal diselesaikan oleh LPK.
“Atas faktor itu, saya membuat keputusan untuk tampil dengan memorandum, agar semua masalah berkisar sektor perkapalan tempatan dapat diberi perhatian segera,” katanya ketika ditemui di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Jeyenderan hadir bagi menyerahkan memorandum mengandungi lapan perkara yang memerlukan penyelesaian secara tuntas oleh semua pihak terlibat.
Antara lain, memorandum berkenaan menggesa satu pekeliling diwujudkan untuk mengelakkan masalah komunikasi dan meningkatkan pendapatan negara.
Ia melibatkan keengganan LPK menangani kapal bersaiz lebih 185 meter, walaupun terbukti boleh dilaksanakan sebelum ini.
Jelas Jeyenderan, memorandum itu turut mencakupi kekangan berlabuh di Pelabuhan Selatan untuk kapal besar kerana masalah pencahayaan yang menyebabkan kerugian.
“Kami menggesa penyelesaian segera untuk memaksimumkan pengeluaran dan meminimumkan perbelanjaan yang tidak perlu.
“YB Menteri juga perlu memastikan LPK mengkaji semula proses mendalamkan pelabuhan, prosedur operasi standard (SOP) dan potensi kerja-kerja penyelenggaraan. Ia susulan kerja-kerja mendalamkan laut di Pelabuhan Kurap, Klang yang menyebabkan paras air laut semakin cetek,” katanya.
Tutut disenaraikan dalam memorandum itu ialah menggesa pihak berwajib menekankan kepentingan untuk pembangunan berterusan operasi pelabuhan.
Mencadangkan penggubal undang-undang mengkaji semula garis panduan komunikasi dan dasar-dasar untuk kapal berlabuh.
Melahirkan keprihatinan sebagai pelabur jangka panjang dan ‘advocate’ untuk menambah baik pelabuhan, menggesa ketelusan dan kritikan membina untuk masa depan industri yang lebih baik.
Menekankan kepentingan untuk perdagangan antarabangsa beroperasi 24/7, memandangkan kapal masuk silih berganti.
Menekankan keperluan untuk semua kemudahan menepati kualiti operasi dan pelaburan kewangan yang dibuat.
Menyeru penggubal undang-undang dan pemimpin industri untuk mencari penyelesaian jangka panjang demi kemakmuran dan masa depan perniagaan, selaras dengan peranan industri dalam menjana kekayaan dan ekonomi negara dan meminta menggunakan kepakaran beliau menangani segala isu melibatkan pelabur dan pemilik.
Mengulas lanjut Jeyenderan berkata, beliau sebagai antara pemain industri yang sudah bertapak selama lebih 30 tahun amat mengharapkan penyelesaian tuntas dapat diwujudkan pada kadar segera.
“YB Menteri sendiri sebagai tonggak utama Kementerian Pengangkutan pasti mahu melihat pelabuhan tempatan mencatatkan pendapatan lebih baik ketimbang dahulu.
“Saya mewakili rakan-rakan lain percaya budi bicara dan kebijaksanaan YB Menteri mampu menghasilkan penyelesaian segera yang membawa manfaat kepada semua pihak terlibat,” katanya.
Beliau menarik perhatian, perkara berkenaan mungkin terpaksa dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya memorandum disampaikan itu gagal membawa sebarang perubahan.
“Saya mengharapkan ada khabar baik daripada YB Menteri selepas sambutan Tahun Baharu Cina nanti.
“Jika tidak, saya (mungkin) terpaksa membawa perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri,” katanya. - Getaran, 5 Februari 2024