KUANTAN - Pengagihan tugas dan pembahagian kawasan oleh sukarelawan Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) bagi meringankan bebanan petugas barisan hadapan di klinik kesihatan di daerah ini, sedikit sebanyak berupaya membantu melancarkan operasi vaksinasi COVID-19.
Program sukarelawan bermula hari ini itu membabitkan 80 ahli MAMPAN yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berasal dari Pahang dan mereka ditempatkan di 11 klinik kesihatan bagi membantu orang ramai, terutamanya warga emas.
Selain membantu menguruskan proses pendaftaran, mereka juga diberi tanggungjawab memudahkan pergerakan warga emas yang memerlukan perkhidmatan kerusi roda dan memberi penerangan ringkas kepada orang ramai mengenai kepentingan vaksin dalam mengawal penularan wabak COVID-19.
Yang Dipertua MAMPAN, Syed Amirol Rosyid Sy Mohd Sukri berkata, program sukarelawan itu adalah inisiatif bersama Pusat Khidmat Komuniti Mahasiswa dan mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Pahang serta Majlis Tindak Sosial negeri.
"Program Sukarelawan Vaksinasi ini adalah antara pendekatan kami untuk bersama masyarakat di samping membantu petugas barisan hadapan menguruskan proses pemberian vaksin kepada orang ramai.
"Seperti yang kita sedia maklum, mereka (petugas barisan hadapan) menjalankan tanggungjawab penuh komited sejak tahun lalu dan ramai tidak mendapat rehat secukupnya sejak wabak ini melanda negara kita, justeru program seperti ini membolehkan beban yang dipikul, selain membantu melancarkan lagi proses pendaftaran (penerima vaksin)," katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Balok, dekat sini, hari ini.
Syed Amirul Rosyid berkata, seramai 10 sukarelawan MAMPAN ditempatkan di klinik kesihatan berkenaan dan bakinya ditugaskan di 10 lagi klinik kesihatan dalam daerah ini.
Katanya, MAMPAN juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk memperluaskan khidmat sukarelawan itu ke daerah lain.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Klinik Kesihatan Balok, Dr Norhayaty Sharman Khamise Roslee ketika ditemui berkata, kehadiran sukarelawan bagi membantu melancarkan proses vaksinasi sangat dialu-alukan dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten.
"Kalau nak dikira, memang kita kekurangan petugas dan kehadiran mereka (sukarelawan) ini memang sangat melegakan kami, apatah lagi kita semua sudah bertugas sepanjang minggu, manakala hujung minggu pula perlu selesaikan urusan vaksinasi COVID-19, jadi memang ramai kakitangan yang tidak dapat berehat atau mengambil cuti.
"Mereka (sukarelawan) ini semuanya belia dan masih muda, jadi tenaga masih banyak dan bolehlah bantu meringankan sedikit kerja kami, terutamanya bab mengisi borang dan memberi penerangan berkaitan vaksin kepada penerima," katanya.
Beliau berkata, seramai kira-kira 600 penerima vaksin dijadualkan hadir ke klinik kesihatan itu pada hujung minggu dan bantuan sukarelawan sangat diperlukan, terutamanya membabitkan proses pendaftaran.
Katanya, proses pengagihan vaksin untuk fasa kedua membabitkan warga emas di klinik berkenaan dijangka dapat diselesaikan bulan Ogos ini dan menasihatkan orang ramai yang sudah menerima tarikh temu janji agar hadir mengikut jadual ditetapkan. - Getaran, 5 Jun 2021