KUALA LUMPUR - Keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meneruskan usaha melakukan kegiatan sanitasi awam di Selangor, masih belum terbukti mampu menghindarkan masyarakat awam daripada jangkitan COVID-19.
Pakar Penyakit Berjangkit, Dr Yazli Yuhana berkata, usaha berkenaan sebaliknya jika diteruskan, mampu membuatkan orang ramai berasa selesa sehingga mengabaikan langkah pencegahan.
Menurut beliau, pencegahan COVID-19 pada dasarnya boleh dipraktikkan menerusi dua langkah yang disifatkan terbaik dan amat efisien.
“Ada dua langkah terbaik dan terbukti menghindari diri daripada dijangkiti COVID-19, iaitu kerap membasuh tangan menggunakan sanitiser atau air dan sabun serta meneruskan pemakaian tutup muka dan hidung.
“Ini adalah kerana sanitasi awam bersifat “there and then”. Maksudnya jika ada kawasan yang sudah tercemar, risiko untuk kawasan tersebut masih tinggi. Namun jika dua langkah yang saya sebutkan di atas dijadikan amalan, maka ia bersifat konsisten,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Dr Yazli memberitahu, kaedah sanitasi awam adalah berbeza dengan sanitasi berfokus yang diamalkan di hospital atau klinik.
“Sanitasi awam bersifat rambang dan tidak berfokus, malah ia tidak bersifat serta-merta.
“Virus COVID-19 tidak mampu bertahan lama pada permukaan objek luar badan manusia. Jadi, walaupun tanpa sanitasi, virus akan mati sendiri,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad bertindak mempersoalkan pendirian Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, yang menyifatkan kegiatan sanitasi awam sebagai pembaziran sumber daya yang terhad.
“Inilah bila politik dan perubatan bercampur,” ujarnya ringkas.
Outdoor disinfection is not based on science. Waste of tax-payor’s money & resource. Exposure to chemicals may harm people. pic.twitter.com/NsQOMRLLiX
— Dr Beni Rusani (@DrBeniRusani) June 4, 2021
Jumaat lalu, Nor Hizwan dalam satu kenyataan menasihatkan Dr Adeeba Kamarulzaman menumpukan perhatian kepada kes COVID-19 di Selangor berbanding mengkritik program sanitasi awam dijalankan kementerian terbabit.
Mengingatkan pakar penyakit berjangkit yang juga panel Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu kepada tugasnya sebagai ahli Pasukan Petugas Khas Menangani COVID-19 Selangor, Nor Hizwan berkata negeri terbabit mencatatkan kes baharu setiap hari.
Sementara itu, Dr Adeeba ketika dihubungi enggan mengulas kenyataan yang dikeluarkan Hizwan.
“Maaf ya, saya rasa sudah cukup diperkatakan mengenai isu itu,” katanya.
Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin turut enggan mengulas mengenai isu itu yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Dr Adeeba pada 29 Mei lalu mempersoalkan keberkesanan program sanitasi awam berskala besar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan menyifatkan ia sebagai pembaziran sumber daya yang terhad.
Mengulas lanjut beliau berkata, peruntukan yang ada boleh disalurkan untuk perkara lebih bermanfaat seperti pembelian alatan kritikal dalam memerangi dan menangani krisis COVID-19 di kalangan pasukan perubatan.
Kenyataan Dr Adeeba menerima sokongan pengamal perubatan lain, termasuk Pakar Kesihatan Awam, Dr Lokman Hakim dan Perunding Pakar Pediatrik, Dr Amar Singh HSS.
Dr Amar dalam satu hantaran turut berkongsi petikan tambahan daripada panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), yang menyatakan bahawa penyemburan berskala besar atau fumigasi untuk virus COVID-19 atau patogen lain, tidak disyorkan dilakukan di ruang terbuka. - Getaran, 6 Jun 2021.