KUALA LUMPUR - Pandemik COVID-19 yang semakin memburuk di Malaysia menyaksikan rakyat mula menyalahkan pemerintah negara, lantaran dianggap gagal mengambil langkah berkesan bagi mengawal penularan virus.
Keputusan kerajaan yang dianggap tidak munasabah, termasuk kelonggaran sekatan sektor ekonomi nyata mengundang kemarahan, ditambah dengan beberapa peraturan tidak jelas sehingga mencetuskan kekeliruan ramai.
Ini dapat dilihat apabila sejumlah besar perniagaan masih beroperasi seperti biasa, selepas penguatkuasaan Sekatan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun lalu.
Ia menimbulkan persoalan, mengapa sekatan penuh di Malaysia tidak seperti negara lain, yang ternyata lebih tegas apabila kesemua sektor tidak penting ditutup sepenuhnya.
Tinjauan Getaran di sekitar ibu negara mendapati, majoriti peniaga mula melahirkan rasa kesal dan mengeluh dengan arahan kerajaan yang tidak konsisten dan sering berubah.
Peniaga gerai makan, Muhamad Khairuul Anam, 36, berkata, dia rela menutup perniagaannya buat sementara waktu demi memastikan jangkitan COVID-19 dapat dibendung.
“Jika tanya saya, kalau kerajaan mahu laksanakan total lockdown iaitu penutupan penuh semua sektor sosial serta ekonomi, saya lebih rela sebab kami sendiri tak faham dan keliru dengan arahan kerajaan yang selalu bertukar-tukar.
“Tengoklah sekarang, walaupun sudah seminggu total lockdown (dilaksanakan), tetapi saya sendiri tak nampak apa kesannya kerana kes pun semakin tinggi. Kereta pun masih ada banyak di jalan raya. Ada baiknya jika kerajaan lakukan semula total lockdown seperti PKP 1.0 dahulu,” katanya.
Pendapat sama dikongsi seorang lagi peniaga, Zaitun Ahmad, 39 yang menyifatkan sekatan penuh dilakukan itu tidak akan berjaya memutuskan rantaian COVID-19.
“Jika inilah cara yang dilakukan sekarang, kita tidak akan menang. Cubalah lihat, masih ramai yang keluar sesuka hati ke sana ke sini.
“Saya berniaga kerana dibenarkan beroperasi tapi jika diarahkan tutup oleh kerajaan, memang saya amat bersetuju asalkan kes turun. Sekarang nak berniaga pun tak seronok kerana risau dengan keselamatan diri,” katanya.
Mula berniaga sejak lima tahun lalu, dia mengakui sanggup menanggung kerugian buat seketika asalkan virus berasal dari Wuhan, China itu dapat dihapuskan.
“Alang alang nak buat total lockdown, buat terus. Kami sebagai peniaga sanggup tutup kedai buat sementara waktu jika itu adalah jalan terbaik putuskan jangkitan COVID-19, daripada berdepan situasi sekarang ini yang kelihatan seperti tiada hala tuju,” ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang pembantu gerai, 27 turut meluahkan rasa kecewa serta kegusaran mengenai keadaan pandemik yang tidak menunjukkan sebarang penurunan.
“Jika kes jangkitan semakin tinggi, maka peniaga seperti kami akan terjejas teruk untuk tempoh masa yang lebih lama. Jadi kalau kerajaan nak (laksanakan) total lockdown seperti yang dilakukan di negara luar untuk tempoh tiga bulan atau lebih, kami sebagai peniaga akan terus menyokong usaha itu.
“Sekarang kami berdepan detik sukar, apabila sewa kedai dan gaji pekerja kena bayar dan pelanggan semakin berkurangan, tetapi pada masa sama, kes semakin tinggi setiap hari,” luahnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan sekatan penuh PKP 3.0 itu memberitahu, semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi, melainkan yang tersenarai sebagai sektor dan perkhidmatan penting oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini pernah memberi amaran kepada semua rakyat agar bersedia menghadapi situasi pandemik yang lebih buruk.
Beliau berulang kali turut mengeluarkan gesaan untuk semua pihak agar tidak keluar ke mana-mana melainkan atas urusan penting, bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19.
Apa pun yang dilakukan, semuanya tidak akan memberi makna jika kerajaan tidak konsisten dalam menguatkuasakan sebarang keputusan dan pada akhirnya, rakyat juga menjadi mangsa.
Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa memutuskan satu pelaksanaan yang benar-benar holistik dan bukan sekadar tangkap muat, bagi memastikan virus maut itu dapat dilenyapkan. – Getaran, 8 Jun 2021