KULAI - Dua penganggur dicekup polis selepas kegiatan mereka memasak dan menjual air ketum di sebuah rumah dua tingkat dekat Jalan Sri Putri 12/3, Taman Putri di sini, berjaya dikesan pihak berkuasa, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 39 dan 45 tahun itu dipercayai bergerak secara aktif sejak Februari lalu dan mampu menjana pendapatan sehingga RM12,000 sebulan hasil penjualan air ketum di daerah ini dan Johor Bahru.
Namun, kegiatan mereka terbongkar hasil maklumat orang awam sebelum polis bertindak menyerbu rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, 380 kilogram daun ketum dan 180 liter air ketum bernilai kira-kira RM7,000 berjaya dirampas, iaitu yang terbesar pernah dibuat di negeri ini, membabitkan bahan berkenaan.
Menurut beliau, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang bertindak atas maklumat awam menyerbu rumah terbabit kira-kira jam 9 pagi semalam.
"Polis turut menjumpai sejumlah 38 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 50 paket plastik lutsinar disyaki daun ketum, dan empat tong air batu yang setiap satunya berisi 30 paket plastik lutsinar berisi cecair berwarna merah kehijauan disyaki air ketum.
"Dua kotak mengandungi 107 botol disyaki ubat batuk berkapasiti 90 mililiter (ml) turut dirampas dalam serbuan terbabit," katanya ketika sidang media di IPD Kulai di sini, hari ini.
Beng Yeow berkata, pihaknya turut merampas tong periuk, set dapur, penapis besi, gayung, penyenduk dan alat penimbang yang disyaki digunakan oleh kedua-dua suspek untuk memproses daun terbabit.
Beliau menarik perhatian, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan daun ketum itu dari Pendang, Kedah sebelum dimasak dan dijual untuk pasaran Ulu Tiram, Masai, Pasir Gudang serta di sekitar daerah ini.
Katanya, daun ketum yang dimasak itu akan dicampurkan dengan ubat batuk dan dijual pada harga RM15 sebungkus, manakala daun ketum yang belum dimasak pula dijual RM50 sekilogram.
"Jualan air ketum ini dipercayai mendapat permintaan tinggi dalam kalangan mereka yang mengalami ketagihan dadah," katanya.
Hasil soal siasat jelas Beng Yeow, kedua-dua lelaki itu mengaku terlibat dalam memproses dan mengedar ketum manakala hasil ujian saringan awal air kencing suspek mendapati kedua-duanya negatif dadah.
Namun, semakan rekod jenayah lampau pula mendapati, keduanya pernah disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah.
"Siasatan masih lagi dijalankan dan kita sedang menyiasat bagaimana suspek mendapatkan bekalan dari Pendang sehingga boleh menjualnya di Johor Bahru ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
"Reman akan dipohon ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kulai pada hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya. - Getaran, 12 Jun 2021