KUALA LUMPUR - Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itu realiti kehidupan dialami sejumlah besar rakyat ketika ini akibat kemelut COVID-19 yang membelenggu negara sejak lebih setahun lalu.
Lebih memeritkan, golongan terkesan itu terpaksa mencatu makanan, berpuasa dan mengharapkan simpati jiran tetangga untuk mengisi perut yang kelaparan.
Justeru, program sumbangan barangan makanan asas dijalankan pelbagai pihak, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sememangnya berupaya membantu mengurangkan bebanan ditanggung.
Walaupun ada antara program itu mencetuskan perdebatan dan kritikan pihak tertentu kerana dianggap menggalakkan sikap meminta serta mengaibkan penerima, hakikatnya usaha terbabit banyak membantu kelangsungan hidup golongan terjejas.
Namun, di sebalik niat murni terbabit, wujud isu tidak enak didengar apabila sumbangan dikhususkan kepada rakyat memerlukan itu turut dibolot mereka yang mampu.
Perkara ini diceritakan seorang pengusaha kedai runcit di Shah Alam kepada Getaran, bagi meluahkan rasa kecewanya dengan sikap disediakan, walaupun memiliki kemampuan kewangan.
Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Adi itu berkata, sejak beberapa bulan lalu, dia menyediakan bakul besar bagi membolehkan orang ramai bersama-sama menghulurkan bantuan makanan kepada individu atau keluarga terkesan.
Pihak yang mahu menyumbang katanya, boleh meletakkan barangan dibawa sendiri atau dibeli di premis perniagaannya itu untuk disumbangkan ke bakul berkenaan.
“Niat saya dan penyumbang ini jujur untuk membantu golongan benar-benar terkesan, tetapi saya kecewa serta sudah tidak mahu meneruskannya apabila ada pihak yang tidak terjejas bersikap mementingkan diri dengan turut mengambil barangan disediakan.
“Lebih mengecewakan apabila ada seorang pelanggan saya sanggup membeli makanan asas berjumlah RM800 untuk diletakkan di bakul ini, namun dibolot oleh pihak tidak berkepentingan,” katanya.
Situasi itu jelas Adi, diburukkan pula dengan sikap penerima yang terlalu tamak, apabila mengambil lebih dari keperluan.
“Pagi isteri datang ambil, petang suaminya pula berbuat demikian dan ia berulang beberapa kali seminggu dengan alasan tidak mampu,” katanya.
Beliau menarik perhatian, sikap seperti itu itu lazimnya dilakukan warga asing, malah ada dakwaan mengatakan, barangan tersebut kemudiannya dijual semula kepada pelanggan.
“Kesian bila orang yang benar-benar memerlukan barangan makanan ini datang bertanya (ada lagi tak bantuan), tetapi semuanya habis, dan biasanya saya akan hulurkan sedikit apa dijual di kedai saya supaya mereka tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Tatkala isu terbabit diusulkan kepada Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Khairul Anuar Mohamad, beliau menyifatkan sikap individu terbabit sebagai tidak wajar dan menonjolkan keburukan peribadi mereka sendiri.
Islam jelas beliau, menyarankan semua penerima untuk bersikap jujur kepada diri sendiri dengan hanya mengambil barangan benar-benar diperlukan, supaya tidak menafikan hak individu lain.
Beliau berkata, barangan diambil juga perlu dihadkan bagi tempoh tertentu sahaja, sementara mereka berusaha mencari sumber pendapatan.
“Dalam Islam, penerima bantuan kena ingatlah adab serta cara meminta, iaitu mengambil sekadar sementara untuk menyara keluarganya dalam tempoh tertentu, sebelum bangkit berusaha mendapatkan punca pendapatan.
“Penerima ini jangan pasang niat mahu ambil selama-lamanya atau dijadikan punca pencarian berterusan, sebaliknya tetapkan bantuan diperlukan selama seminggu dan sepanjang tujuh hari itu, dia kena rancang apa boleh dilakukan untuk mendapatkan wang sendiri, seterusnya berusaha menjadi pemberi pula,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, pemberi pula perlu menanamkan aspek keikhlasan dalam diri ketika menghulurkan bantuan, demi memastikan sumbangan terbabit mampu memberi manfaat kepada individu terkesan.
Jelasnya, bantuan dihulurkan perlu bersifat terbuka dan tidak berlandaskan kriteria tertentu bagi membolehkan lebih ramai dibantu.
“Buat sahaja macam kita derma di masjid dan surau, kita masukkan dalam tabung tanpa tetapkan ini untuk membayar bil, air atau khusus kepada perkara tertentu, jadi terpulang kepada pihak pengurusan mahu menggunakannya untuk apa-apa keperluan.
“Sebaiknya bila kita beri bantuan atau menderma kepada golongan terkesan akibat COVID-19 ini, lakukan secara umum, seperti tulis untuk orang susah, jadi tidak kisah siapa penerimanya, asalkan mereka berdepan kesukaran kewangan.
Ditanya pandangannya berhubung kempen bendera putih, Khairul Anuar secara peribadi menyifatkan usaha itu tidak menjadi kesalahan kerana dapat meringankan bebanan golongan susah.
“Islam sendiri menegaskan kita perlu saling bantu membantu, malah jika ada pihak yang meminta bantuan, kita tidak boleh mengherdiknya.
“Namun, kempen mengangkat bendera putih ini tidak mewakili kesemua pihak yang sangat memerlukan bantuan kerana ada juga keluarga yang benar-benar terkesan tidak melakukannya. Kita perlu sentiasa cakna kepada jiran dan adik-beradik, selain mempunyai hubungan silaturahim kukuh antara persatuan, kejiranan serta penduduk supaya bantuan boleh disalurkan segera sekiranya berlaku bencana. – Getaran, 6 Julai 2021