Sebut tentang pontianak, pocong serta hantu penanggal, ia pasti mendapat perhatian sehingga menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat Melayu di Nusantara sehingga kini.
Namun, ia berjaya juga mencuri perhatian pembaca bukan Melayu dari luar negara sekiranya cerita-cerita seram serta alam ghaib itu senang diperolehi menerusi wadah seperti Wattpad atau E-book.
Wattpad adalah sebuah laman sesawang dan aplikasi di mana penulis boleh berkongsi tulisan mereka. Platform itu mempunyai 90 juta pengguna di seluruh dunia.
Itulah yang telah dilakukan oleh Dr. Elmi Zulkarnain Osman, penulis buku Stillborn-The Legend of Pontianak and Other Supernatural Ghost Stories terbitan Elemantra Media & Kindle Direct Publishing, Singapura.
Antara karya tulisan penulis Singapura itu ialah 'Stillborn-The Legend of Pontianak', 'Night of the Living Pocong', 'Adrian Lim-The Killer Healer' dan 'The Exorcism of Sarah Sullivan'.
Antologi yang ditulis oleh mantan guru sekolah yang juga penerima Anugerah Guru Arif Budiman itu mengandungi 11 cerita termasuk pengalaman beliau sendiri berhadapan dengan makhluk halus ketika berada di kampung neneknya di kampung Api-Api, Kuala Selangor sewaktu kecil.
Kongsi Dr Elmi:
“Saya tidak pernah percaya dengan hal-hal supernatural sehinggalah ketika berusia 8 tahun, saya ternampak sesuatu terbang iaitu sehelai kain berbentuk wajah orang sedang bergerak dari satu pokok ke pokok yang lain.
“Memang dah dididik kalau nampak benda sebegini disuruh baca ayat Qursi tetapi apabila ia berlaku, ayat Qursi entah ke mana. Apabila saya pusing balik, benda itu dah ada di atas pokok.”
Namun, Dr Elmi memilih menggunakan konteks dan watak berlainan agar bersesuaian untuk penerbitan sebuah buku.
Kongsinya, beliau memasukkan cerita mengenai hantu penanggal ke Wattpad pada 2018. Ia memotivasikannya untuk terus berkarya setelah kisah hantu penanggal itu dibaca 5,000 pembaca dalam tempoh seminggu.
“Saya guna medium bahasa Inggeris walaupun cerita itu tentang hantu Melayu, kisah supernatural Melayu. Mudah untuk difahami tentang budaya kita mengapakah kita masih percaya benda-benda tahyul.
“Pada masa sama, saya rasa buku ini dapat mendidik dan memberitahu secara luas bagaimana kebudayaan orang Melayu dan falsafah hidup mereka berubah mengikut masa tetapi ada perkara yang mereka percaya sampailah ke zaman moden ini,” katanya ketika dihubungi.
1,000 naskhah buku berharga SGD $20 berjaya dijual apabila pertama kali ia diterbitkan pada Mei 2019.
Apakah motif Dr Elmi menulis buku Stillborn-The Legend of Pontianak And Other Supernatural Ghost Stories dalam bahasa Inggeris?
“Saya mahu orang baca buku saya. Saya tahu guna bahasa Melayu dengan baik sebab saya pun pakar dalam bahasa Melayu tetapi saya inginkan pembaca. I wanted numbers. Orang Melayu di Singapura kebanyakannya tidak mahu membaca buku bahasa Melayu.
“Saya boleh keluar dari kepompong pembaca Singapura, Malaysia, Brunei, Indonesia dan sejauh Amerika Syarikat. Beberapa rakan semasa saya belajar di Amerika Syarikat pun ada baca buku saya sebab ia boleh didapati dalam format e-book.” katanya tanpa berfikir panjang.
Beliau turut berkongsi berita gembira bukunya telah diadaptasi untuk penerbitan drama tempatan Inggeris setelah ia dijadikan skrip drama baru-baru ini.
Cerita 'Pontianak' tersebut akan disiarkan penghujung tahun ini di saluran Inggeris stesen televisyen Mediacorp, Singapura.
Untuk produksi tersebut beliau turut terlibat sebagai penasihat.
“Mereka bertanya bolehkah Pontianak itu digambarkan seperti yang mereka bayangkan? Saya sangat teliti orangnya. Saya beritahu mereka ia mesti kelihatan seperti cerita Singapura, biar nampak realistik,” kata Dr Elmi. - Getaran, 23 Oktober 2021
Gambar: Ihsan Dr Elmi Zulkarnain Osman