KUALA LUMPUR - Empat pasukan sudah mengesahkan penyertaan untuk Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, temasya itu akan berlangsung pada 2 hingga 10 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menurut beliau, selain skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon, tiga pasukan lain yang telah mengesahkan penyertaan pada pertandingan kali ini ialah juara bertahan, Tajikistan yang kini berada di ranking ke-102 dunia, Lebanon (117) dan Filipina (147).
“Empat pasukan ini akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu Separuh Akhir 1 dan 2, disusuli perlawanan kedua iaitu Final yang menemukan pemenang Separuh Akhir 1 dan 2 serta Penentuan Tempat Ketiga di antara dua pasukan yang kalah pada Separuh Akhir 1 dan 2,” katanya.
Jelas Noor Azman, ini merupakan kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun.
“Kali terakhir diadakan berturut-turut ialah pada 2006, 2007 dan 2008, sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, FAM amat berharap penyokong Harimau Malaya dapat memeriahkan pertandingan berkenaan dan hadir ke stadium sebagai tanda sokongan.
“Edisi Ke-43 ini berlangsung ketika Bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September, justeru kehadiran penyokong akan memeriahkan lagi suasana,” katanya.
Pada Edisi Ke-42 tahun lalu yang turut berlangsung di Stadium Nasional, skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan India 4-2 pada separuh akhir pada 13 Oktober, sekadar muncul naib juara selepas tewas 2-0 kepada Tajikistan pada Final yang berlangsung pada 17 Oktober.
Terdahulu, Tajikistan yang merupakan pasukan pengganti selepas Lebanon menarik diri kerana diundi bersama Palestin dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027), layak ke Final secara 'bye' selepas lawan mereka di separuh akhir.
Palestin juga terpaksa menarik diri kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur ekoran situasi tegang di negara berkenaan ketika itu.
Tarikh majlis undian Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 akan dimaklumkan kemudian bagi menentukan pasukan mana yang bakal bertembung pada Separuh Akhir, selain tarikh bagi Hari Perlawanan 1 untuk Separuh Akhir dan Hari Perlawanan 2 bagi Final dan Penentuan Tempat Ketiga turut akan ditetapkan nanti. - Getaran, 1 Julai 2024