Sebaik jarum jam menunjukkan pukul dua petang, penulis sampai ke bangunan Aureo Gallery. Di lobi, kelihatan penata gaya, Ardi dan juruvideo Muharram juga baru sahaja sampai.
Kebetulan, Yonnyboii dan pengurusnya, Azim dari Universal Music Malaysia turut hadir pada waktu yang sama. Macam kebetulan pula!
“Hey Yonny! Hey Azim! Jom kita daftar dahulu ya sebelum masuk,” sapa penulis.
Yonny dan Azim pun menyambut sapaan dengan senyuman. Tanpa banyak tanya, mereka mengekori sahaja.
Ada apa dengan anxiety?
Penulis suka benar mendengar muzik rapper muda yang satu ini. Rentak padu yang disulami dengan lirik yang membekas. Lagu-lagu Yonnyboii bukan lagu-lagu cinta biasa.
Ia membawa mesej yang berat. Banyak lagu yang bagus-bagus, membawa isu kesejahteraan mental yang kurang menjadi perhatian dan mainan pemuzik tempatan.
Yonnyboii yang senang disapa sebagai Yonny ini juga salah seorang yang menghidapi anxiety atau ‘keresahan’. Dia tidak berasa malu dan tidak berselindung dalam mengakuinya.
“Simptom anxiety ini tidak dapat diduga. Misalnya, sekiranya saya tiba-tiba perlu membuat persembahan secara spontan. Saya tiada bersedia, tiada ditaklimat.
“Tiada. Tiada apa-apa. Semasa itulah anxiety ini mulai menyerang. Saya akan berasa sesak nafas secara tiba-tiba.
“Rasa macam pecundang. Mahu buat apa pun tidak boleh. Saya jadi gagap jika bercakap. Saya rasa seperti mahu menjerit dan ‘meletup’!” akui Yonny.
Lalu bagaimana cara mengatasinya? Seraya dia menjawab, “Dengan bantuan orang-orang terdekat saya seperti isteri, keluarga dan pengurus.
“Kadang-kadang ada orang yang saya perlu call kalau ada apa-apa hal. Ada orang yang tolong. Jangan pernah malu meminta tolong.
“Perkara paling penting adalah peneman. Cari teman yang boleh menjaga kamu. Yang benar-benar peduli tentangmu.
“Jangan buang masa dengan mereka yang bersikap sambil lewa. Kerana mereka tidak tahu apa rasanya mengalami masalah seperti ini.
“Paling penting kita kena ada seseorang yang sentiasa dekat dengan kita. Kerana kita tak tahu bila perkara ini akan terjadi.
“Merekalah ‘superpower’ saya,” jelas penyanyi dan penulis lirik yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada November tahun lalu.
Hari tak selama-lamanya malam, ada sinar di awal pagi
Berbicara soal peneman, jangan tak tahu empunya nama Muhammad Haqeem Nuriman (24) ini sudah pun bergelar suami orang!
Mendirikan masjid bersama suri hari pilihan hati, Nik Nazira Narriman (23), dia tidak pernah menyangka dia akan berkahwin di usia muda.
“Pertama-tama, ia soal jodoh. Saya pun tak sangka akan berkahwin pada usia 23 tahun. Banyak perkara yang terjadi yang berlalu laju begitu sahaja.
“Pengalaman saya sebagai seorang suami muda, okeylah. Sekarang semua benda sudah terjaga. Syukur saya mempunyai seorang isteri yang pandai menguruskan saya sehari-hari.
“Kadang-kadang, salah faham itu biasalah. Masing-masing punya perangai. Bagi saya, salah faham itulah yang merapatkan jurang antara kami.
“Sebelum ini, kami tidak mengenali antara satu sama lain secara mendalam lagi. Banyak perkara yang saya pelajari. Sikap dan tatakrama orang itu berlainan.
“Buat masa ini kami saling memahami. Sudah mengerti tugas masing-masing dan lebih cakna tentang kenikmatan alam perkahwinan,” ucap dia penuh bangga.
“Nik macam boyfriend saya!” – Yonnyboii
Yonny berkongsi isterinya itu selalu menegurnya dengan niat yang baik, berbeza dengan mereka yang menegur dengan kecaman.
“Saya jatuh hati dengan si dia kerana dia berani menegur saya. Perbaiki diri.
“Mungkin orang lain akan menganggap perkara ini kecil tetapi bagi saya, orang yang menegur saya dengan niat yang betul, dia betul-betul mahu saya jadi versi saya yang lebih baik.
“Dialah yang mengajar saya perkara-perkara kecil yang kadang seorang lelaki seperti saya selalu terlepas pandang.
“Saya nampak dia memang ikhlas menegur demi ke arah kebaikan, ke arah seorang yang lebih baik. Dia membuat saya memandang kehidupan dalam perspektif berbeza.
“Dan dia seorang isteri yang sangat prihatin, yang tidak akan pernah saya temukan lagi. Nik macam boyfriend saya!” candanya.
Berkaca-kaca mata Yonny semasa dia berbicara tentang ratna hatinya. Ikhlas. Apa yang dituturkan, penulis dapat rasakan seikhlas hatinya. Apa rasanya menjadi seorang suami muda?
“Banyak saya pelajari. Pertama sekali, orang boleh bercakap macam-macam pasal kita. Mulut orang tak akan pernah berhenti bercakap. Biarkan mereka, usah buang tenaga melayan.
“Kedua, kita harus menjaga isteri, kena banyak jaga mental dia. Dia dikenali di media sosial, setiap hari ada sahaja mulut jahat warganet yang dilemparkan kepada isteri.
“Saya kena jaga kesejahteraan mental dia, di samping menjaga kesejahteraan mental saya sendiri.
“Ketiga, saya belajar bagaimana melayan orang dengan lebih baik. Saya sedar dahulu saya keanak-anakkan, tetapi sekarang saya sudah banyak bergaul. Jadi, saya sudah pandai berkawan.
“Boleh kata, perkahwinan ini mengajar saya menjadi lebih matang,” terang Yonny tak berhenti kalimah.
Pemasyhuran muzik seorang Yonnyboii
Yonny mengakui peminat lebih meminati muziknya berbanding soal peribadinya. Soal saham jatuh sekiranya berkahwin awal tiada dalam kamus seninya.
“Pada pendapat saya, mereka yang masih meminati muzik saya, mereka mahu dengar, dengarlah.
“Saya tak rasa ada jatuh saham atau tak jatuh saham. Janji ada pendengar. Ya, betul ada sahaja peminat yang betul-betul mengikuti perkembangan kehidupan peribadi saya.
“Namun, saya rasa ramai lagi yang setia mendengar muzik dan karya saya. Jadi, saya yakin mereka akan sentiasa mendengar muzik saya,” akuinya.
Tambahnya, “Semasa saya menulis lirik, saya cuba menulis sepertimana saya menulis diari. Mungkin kerana itu ia vivid. Lagu-lagu nukilan saya itu tidak semestinya untuk diri saya sahaja.
“Terkala saya menulis perihal pendapat saya, kadang-kadang tentang pandangan hidup atau menulis kisah orang lain.
“Tahun lepas, tiga lagu saya tercalon untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) 35, tetapi satu pun tak ‘sangkut’ ke final.
“Alhamdullilah, tahun ini rezeki saya, walaupun satu lagu sahaja yang layak ke peringkat akhir AJL36. Saya tidak meletak harapan yang tinggi.
“AJL36 ini saya akan beri yang terbaik. Rancangan saya akan mempersembahkan ‘Salahku’ dengan konsep yang lebih kurang sama dalam muzik video. Ringkas dan classy,” ungkapnya.
Sebelum memotong noktah, Yonny sempat berpesan pandanglah kehidupan ini dengan mata kaca keamanan dan ketenangan.
“Kehidupan ini melelahkan. Apa sebenarnya kita cari? Kita kerja kuat, cari duit sana-sini, untuk apa sebenarnya?
“Sebab kita mahu hidup dengan senang. Kita mahukan ketenangan. We want peace. That’s all.
“Apa yang saya padang dalam kehidupan ini, saya pandang keamanan dan ketenangan.
“Apa sahaja yang saya lakukan - muzik, kerjaya dan cinta ialah demi ketenangan diri saya sendiri. Dan untuk masa mendatang,” akhiri Yonnyboii dengan seukir senyuman di pipi.
DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN
Wajah TARA : Yonnyboii
Pengarang Urusan: M. Zulkifli Abd Jalil
Penyelaras : Shah Shamshiri
Teks & Arahan Seni : Zaidi Che
Suntingan Teks: Ili Farhana
Solekan : Fazz Ariffin
Penata Gaya : Ardi Idewani
Busana: Michael Kors
Jurugambar: Mohd Azim Rahman
Suntingan Video : Muharram Kasim
Rekaletak: Hanif Zahari
Lokasi : Aureo Gallery by US Artbank International
(Sekalung penghargaan buat Puan Atina Badri dan Bi Bi Chiam Tan )