Memasuki restoran Coconut Tree Kitchen ini, aroma masakan Melayu menyapa kehadiran kami.
Set nasi berserta barisan lauk-pauk tersusun kemas di atas meja utama, sedia untuk dinikmati para pelanggan.
Menu masak lemak cili padi dan masak lemak salai merupakan menu utama di restoran yang terletak di Kajang, Selangor ini.
Selain itu, restoran ini turut menyajikan menu lain seperti masak lemak tempoyak, rendang, sambal ayam yogurt serta aneka salai, kuih muih tradisional dan banyak lagi.
Pemilik merangkap tukang masak, Khairy Latif (57) berkata, dia membuat keputusan untuk membuka Coconut Tree Kitchen kerana ingin mengetengahkan masakan tradisi Negeri Sembilan.
“Saya suka makanan Melayu. Istimewanya di restoran saya ini, saya menyajikan masakan asli dari Negeri Sembilan.
“Pedasnya yang asli, rempahnya yang asli. Konsep bufet masakan ‘Nogori’ belum ada lagi di kawasan sekitar Kajang.
“Selain masak lemak cili api, saya juga menyediakan masakan terkenal dari Negeri Sembilan yang lain seperti masak salai daging dan itik serta sambal tempoyak daun kayu,” kata Khairy.
Kongsi Khairy yang merupakan anak kelahiran Kuala Pilah ini, masakan-masakan negeri Adat Perpatih itu dipelajarinya secara turun-temurun daripada arwah ibu.
Dari awan biru kembali ke periuk tanah
Siapa sangka tukang masak yang sudah berpengalaman selama lebih 30 tahun ini juga pernah membuka agensi pelancongan.
Menurut Khairy, dia terpaksa menutup perniagaan pelancongannya itu setelah dunia dibadai wabak COVID-19.
“Sebelum saya memulakan perniagaan di bidang pelancongan, saya sudah pun berkecimpung dalam dunia masakan sejak 1998.
“Kemudian, saya menjual restoran pertama saya di Pandan Indah itu dan menyambung pengajian saya di peringkat universiti.
“Pada 2011, barulah saya membuka agensi pelancongan. Agensi pelancongan saya itu bertahan sampai 2020 sehingga terpaksa ditutup akibat pandemik.
“Sekarang saya nekad membuka Coconut Tree Kitchen dengan niat kalau kita ikhlas memasak, kita masak sedap, maka ia boleh diterima ramai orang, insyaAllah, ” jelasnya.
Menu tradisi penyelamat Khairy
Harga setiap set hidangan masak lemak cili api adalah antara RM7 sehingga RM12. Manakala, bagi set nasi bersama asam pedas ikan siakap pula pada harga RM12 untuk seorang makan.
Menariknya selain masakan tradisi Negeri Sembilan, Khairy turut menawarkan set nasi beriani ayam yang berharga RM14 atau set nasi beriani kambing pada harga RM19.
Menurut Khairy, salah satu kelebihan mengelilingi dunia ialah dapat memperolehi menu-menu istimewa antaranya nasi berianinya itu yang dipelajarinya sendiri di Hyderabad, India.
“Saya sempat masuk ke dapur restoran mereka dan bertanyakan sendiri cef tentang rahsia ramuan nasi berianinya. Kemudian, saya terapkan ke dalam masakan saya.
“Itu cerita dahulu, sekarang saya sudah penat dan berusia untuk mengembara lagi. Dengan situasi pandemik yang tak menentu ini, saya rasa akan teruskan perniagaan makanan ini.
“Memasak juga penat, tetapi ia mengujakan dan bersifat setempat. Tidaklah terasa sangat!” tawa Khairy menutup wawancara. - Getaran, 12 Februari 2022
Semua gambar: Alif Omar