Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat kira-kira dua bilion manusia di seluruh dunia yang masih hidup tanpa bekalan air bersih dan selamat.
Dalam usaha ini, tumpuan diberikan kepada air bawah tanah yang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian manusia.
Selain itu, penggunaan air bawah tanah turut memastikan kelestarian alam sekitar serta meningkatkan pembangunan ekonomi kawasan-kawasan terbabit.
Pertama, apa itu air bawah tanah?
Air bawah tanah ialah air yang wujud di bawah tanah, di celah-celah ruang antara tanah, pasir dan batu-batan di bawah permukaan bumi. Pembentukan geologi ini dipanggil akuifer.
Proses utamanya adalah penyerapan air hujan ke dalam tanah. Ia menghasilkan aliran air di antara batuan dan akhirnya keluar ke permukaan secara semula jadi menjadi mata air atau sungai.
Bagi menambah bekalan air di kawasan yang kekurangan air, kemajuan teknologi membolehkan kita mengeluarkan air bawah tanah itu tadi secara langsung tanpa melalui proses semula jadi.
Di Malaysia yang beriklim tropika, simpanan air bawah tanah dianggarkan sebanyak 5,000 bilion meter padu dan kurang 2% daripadanya telah digunakan.
Hanya 3% penggunaan air bawah tanah direkodkan kerana kebanyakan negeri-negeri di Malaysia menggunakan air di permukaan seperti air sungai, tasik atau empangan sebagai sumber utama.
Penggunaan yang sangat sedikit ini menawarkan potensi yang tinggi untuk kegunaan masa hadapan. Oleh itu, kita perlu memeliharanya dengan bersungguh-sungguh.
Kita mesti pelajari bagaimana caranya untuk mencegah pencemaran air bawah tanah yang boleh menjejaskan penggunaannya pada masa akan datang.
Mengapakah penting untuk memelihara air bawah tanah?
Air bawah tanah merupakan antara sumber air yang amat penting untuk alam sekitar. Ia memainkan peranan dalam mengitar semula air di permukaan bumi.
Air di permukaan bumi seperti sungai, tasik, kolam dan danau membekalkan keperluan air harian kepada manusia. Pada masa sama, ia menyokong sektor ekonomi, pertanian dan banyak lagi.
Namun, aktiviti-aktiviti manusia juga boleh menyebabkan pencemarannya dan mampu mengeringkan akuifer dengan pantas. Apabila akuifer kering, ia akan hilang selama-lamanya.
Ingatlah, air bawah tanah membentuk hampir semua air tawar di atas permukaan bumi. Ia merupakan sumber yang sangat berharga kepada manusia, flora dan fauna.
Sekiranya kita tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk memelihara sumber air tawar terbesar di dunia ini, ia bakal menyebabkan pelbagai masalah kepada kesejahteraan manusia.
Berikut beberapa cara untuk kita melindungi dan memelihara air bawah tanah:
#1 Gunakan air secara berhemah
Elakkan pembaziran air. Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, membiarkan air mengalir semasa memberus gigi, membuang 16 liter air setiap kali.
Jika isi rumah empat orang dan setiap orang memberus gigi sebanyak dua kali setiap hari, sebanyak 64 liter akan dibazirkan. Pastikan anda menutup paip semasa memberus gigi.
Periksa juga semua paip, tandas dan pili di rumah secara berkala bagi mengelak pembaziran. Segera membaikinya jika perlu.
Cabar diri untuk tidak mandi terlalu lama. Selain itu, gunakan mesin basuh dalam kapasiti kain cucian yang penuh.
#2 Kurangkan penggunaan bahan kimia di rumah
Kurangkan penggunaan produk yang mengandungi kimia yang tinggi atau tukar kepada produk pembersihan berasaskan bahan semula jadi.
Kebiasaannya, kita beranggapan produk kimia diperlukan untuk kebersihan yang menyeluruh. Namun, penggunaannya yang kerap bakal menjejaskan alam sekitar!
Bahan-bahan yang ada di rumah seperti lemon, cuka dan serbuk penaik juga boleh digunakan untuk sesi pembersihan. Ia bukan sahaja mesra alam, malah lebih menjimatkan.
Bagi mereka yang minat bercucuk tanam, hadkan penggunaan racun atau baja kimia untuk tanaman anda.
#3 Buang bahan toksik dengan betul
Jangan buang sisa berbahaya ke dalam longkang atau di atas tanah kerana ia boleh mencemari air bawah tanah. Elakkan juga membuang bahan kimia dan toksik terus ke dalam singki.
Anda mungkin ingin menjimatkan masa dan memudahkan kerja, namun tindakan ini terbukti bahaya, bukan hanya kepada manusia, malah kepada alam sekitar.
Buanglah bahan-bahan toksik seperti minyak motor, cat, ubat gegat, produk pembersihan dan ubat-ubatan dengan betul atau di kawasan yang ditetapkan oleh majlis pembandaran anda.
#4 Guna dan kitar semula
Kurangkan penggunaan produk yang tidak diperlukan. Gunakan semula apa sahaja barangan yang telah digunakan tetapi masih dalam keadaan baik.
Paling penting, kitar semula kertas, plastik, kaca, aluminium dan bahan-bahan lain yang boleh dikitar semula.
Dengan melakukan amalan-amalan ini, kita dapat memastikan persekitaran yang lebih bersih dan mengurangkan pencemaran sampah yang mungkin terlepas ke kawasan sumber air.
Mulakan juga proses pelupusan dengan meletakkan sisa organik ke dalam tong kompos. Selain mengurangkan pembaziran makanan, ia boleh dijadikan baja kompos untuk tumbuh-tumbuhan.
Amalan-amalan lestari ini boleh meninggalkan kesan yang positif dan memberi manfaat yang besar kepada alam sekitar.
Air bawah tanah merupakan satu sumber semula jadi yang sangat berharga. Menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi dan memeliharanya demi masa hadapan.
Kepentingan air bawah tanah perlulah dipupuk di semua lapisan masyarakat. Air bawah tanah perlu diurus dan dilindungi dengan baik bagi memastikan kemampanannya.
Kita juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan pelajaran tentang sumber air supaya kita lebih bersedia untuk menjaga bumi kita yang tercinta. - Getaran, 10 April 2022
Semua gambar kecuali tertera: Waterco Malaysia