Nama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sememangnya sinonim dengan perkembangan dan pembangunan industri perfileman dan penerbitan muzik tanah air.
P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929.
Minatnya yang mendalam terhadap seni muzik, seni lakon, pembikinan filem dan penggubahan lagu terserlah sejak beliau masih muda lagi.
Kerjayanya sebagai anak seni bermula ketika beliau ditawarkan berlakon di dalam sebuah filem bertajuk Chenta pada tahun 1948.
Selain berlakon, kesungguhan dan keupayaannya mempelajari aspek pembikinan filem membawa tuah apabila beliau diberikan peluang mengarahkan filem Penarek Becha pada tahun 1955.
Filem ini telah terpilih sebagai Filem Terbaik, sekali gus menobatkan beliau sebagai Pengarah Terbaik pada tahun 1956.
Beliau juga menerima banyak anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Antaranya, Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem Anakku Sazali di Pesta Filem Asia, Tokyo pada tahun 1957.
Anugerah Komedi Terbaik dimenanginya di Pesta Filem Asia, Kuala Lumpur pada tahun 1959 bagi filem Pendekar Bujang Lapok.
Pada Pesta Filem Asia 1963, beliau telah menerima satu anugerah khas, Bakat Paling Versatil melalui filem Ibu Mertuaku.
Sepanjang hayatnya, P. Ramlee telah berlakon dalam 66 buah filem, mengarahkan 37 buah filem dan mencipta lebih 250 naskhah lagu.
Manakala, suri hatinya iaitu Puan Sri Salmah Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma merupakan seorang anak seni yang telah mengabdikan dirinya untuk seni di sepanjang hayatnya.
Saloma dilahirkan pada 22 Januari 1935 di Pasir Panjang, Singapura.
Beliau mula mengasah bakat dalam bidang seni suara apabila menyanyikan lagu pertamanya, ‘Seven Lovely Days’ bersama kumpulan The Singapore Boy di New World Cabaret, Singapura.
Pada awal era 50-an, Saloma hanya dikenali melalui lagu-lagu dendangannya di kelab itu serta watak-watak sampingan di dalam filem Melayu.
Beliau mula terkenal berkat melakonkan watak utama untuk filem Azimat (1958) dan Kaki Kuda (1958).
Saloma terus melangkah maju di dalam bidang lakonan dengan membintangi filem-filem popular seperti Seniman Bujang Lapok (1961), Ragam P. Ramlee (1964) dan Ahmad Albab (1968).
Kedua-dua bintang tersohor Malaya ini telah melangsungkan perkahwinan pada 31 Oktober 1961 dalam satu majlis yang amat sederhana.
Keserasian yang ditonjolkan oleh mereka berdua sering mendapat pujian khalayak serta digelarkan sebagi pasangan merpati dua sejoli atau power couple mengikut istilah masa kini.
Saloma dan P. Ramlee hidup sehati sejiwa sehingga ke akhir hayat mereka.
Sebagai seorang seniman serba boleh, P. Ramlee sering menghasilkan karya yang bukan sahaja relevan sepanjang zaman, malah turut sarat dengan kritikan sosial.
Beliau tidak hanya berjaya mengetengahkan unsur-unsur kebudayaan Melayu, malah turut menyuntik nilai-nilai perpaduan dalam masyarakat Malaysia.
Masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita ditampilkan di dalam hampir semua karya-karya yang dihasilkannya.
P. Ramlee berjaya mempamerkan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif pada zamannya, bersatu padu tanpa mengira bangsa, kaum dan budaya.
Karya-karya beliau dilihat mempengaruhi nilai harmoni dalam masyarakat dan memupuk nilai budaya yang tinggi dalam proses pembinaan negara bangsa.
Seraya itu, Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama pusat beli-belah Fahrenheit88 menganjurkan Pameran P. Ramlee dan Saloma sehingga 16 Mei 2022.
Diangkat sebagai tema utama dekorasi, pameran khas Ramadan dan Syawal ini diadakan bersempena kempen ‘Raya Melodies’ bagi memperingati seniman dan seniwati ulung itu.
Pameran ini mempamerkan koleksi terpilih busana milik Seniman Agung dan Biduanita Negara tersebut serta barangan peribadi mereka yang jarang sekali diperlihatkan kepada umum.
Arkib Negara Malaysia merupakan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan mempamerkan artifak milik P. Ramlee dan Saloma.
Khazanah seni negara ini turut dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee di Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang. – Getaran, 17 April 2022
Gambar: Fahrenheit88