Pengacara Fikry Ibrahim mendapat kecaman hebat di media sosial kerana dikatakan salah menyebut nama pemenang ketika mengendalikan pentas akhir pencarian Dewi Remaja 2022.
Ketika kejadian, Fikry sepatutnya mengumumkan nama pemenang tempat ketiga iaitu Kimberly Chuah.
Namun begitu, Fikry hanya menyebut nama singkatan ‘Kim’, menyebabkan ramai beranggapan Fikry telah menyebut nama peserta lain iaitu Bee yang juga merupakan Top 4 Dewi Remaja 2022.
Bee yang menyangka namanya disebut terus melangkah ke hadapan untuk mengambil hadiah menyebabkan acara pengumuman pencarian Dewi Remaja 2022 itu menjadi sedikit kucar-kacir.
“Saya tak salah sebut, saya rasa tak buat salah apa-apa. Mungkin saya silap sebab tak sebut nama penuh, itu sahaja. Penonton yang dengar secara live dan di rumah, barangkali mendengarnya dalam keadaan berbeza.
“Nak menyalahkan itu senang. Di dalam kertas yang saya pegang, memang tulis Kim. Yalah mungkin sebagai hos, saya kena sebut nama penuhnya.
“Saya anggap ini ada ruang untuk diperbaiki, mudah-mudahan saya akan jadi lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui Getaran selepas pertandingan.
Bukan itu sahaja, Fikry turut dihentam oleh warganet kerana tidak memberikan ruang buat pemenang Dewi Remaja, Tracie Sinidol memberikan ucapan.
“Untuk kritikan yang kata saya tidak memberi juara Dewi Remaja berucap, itu di luar bidang kuasa saya.
“Memang sepatutnya ada slot tapi sebab kekurangan masa, saya hanya ikut arahan. Saya akui kekurangan itu dan saya dah cuba sebaik mungkin.
“Komen-komen yang diberikan, saya abaikan sebab mereka tak bayar gaji saya,” kata Fikry lagi.
Terdahulu, pentas akhir untuk mencari seorang penerus legasi Dewi Remaja 2022 diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Tracie Sinidol, dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja diikuti Bee Aishah di tempat kedua. Kimberly dan Alyssa Ahmad Azmi masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat. – Getaran, 4 September 2022