Selepas kejayaan album sulung, Flight (2016), Alena Murang menghembus pula nafas baharu untuk album terbaharunya yang berjudul Sky Songs (2021). Menariknya, album ini dinyanyikan sepenuhnya oleh Alena dalam bahasa Kenyah dan Kelabit.
Inspirasi dari cerita-cerita nenek moyangnya yang tinggal di langit dan bumi, Sky Songs ialah sebuah perjalanan melewati kosmos; lagu-lagu untuk sang pahlawan yang melihat kabus dini hari pertempuran, kisah-kisah penghijrahan, juga lagu-lagu yang meratap guruh dan sang bulan.
Sky Songs mengandungi lapan lagu, merangkumi dua single, 'Gitu’an' dan 'Meno', dua lagu instrumental, satu lagu dalam bahasa Kenyah, empat lagu dalam bahasa Kelabit dan satu lagu dalam bahasa Inggeris. Sedikit fakta, bahasa Kenyah dan Kelabit merupakan dua bahasa yang semakin pupus di Malaysia.
Bercakap tentang pelancaran album terbaharunya, Alena berkata, “Album ini dinamakan Sky Songs kerana ia adalah sebuah representasi nenek moyang saya dan bagaimana kehidupan kita di bumi ini yang amat suci.
“Ada cerita-cerita tentang kehebatan nenek moyang kami yang dahulunya tinggal di langit dan turun ke bumi melalui air terjun. Dan kini, bila kita mendongak ke langit dan melihat kepulan awan putih atau bintang-bintang bergemerlapan, ia mengingatkan kita untuk terus berpijak di bumi, hidup sebagai masyarakat dengan setiap makhluk Tuhan kerana kita saling memerlukan.
“Nenek moyang kami juga mempunyai hubungan istimewa dengan alam semesta. Dari matahari ke langit, pokok-pokok dan semua hidupan. Mereka berpesan bahawa langit itu umpama ‘kubah pelindung matahari yang besar’ dan semua hidupan di bumi hidup di bawahnya.
“Dan kerana itu jugalah saya memilih untuk menyanyi dalam bahasa Kenyah dan Kelabit demi memastikan ia tidak hilang ditelan zaman. Baik individu, mahupun komuniti, bahasa itu mewakili pelbagai perkara yang berlaku dalam sesebuah kehidupan.
“Maka dengan itu, album ini salah satu cara saya untuk memastikan warisan kita yang indah ini dapat dipertahankan dengan harapan agar anak-anak kita nanti dan generasi masa hadapan dapat menerima dan menghargainya,” terang penyanyi sape’ profesional wanita pertama ini.
Alena, yang turut terlibat dalam projek Roads To Our Heritage bersama-sama dua lagi kugiran tempatan, Estranged dan Stonebay, bermatlamat untuk membawa cerita tentang masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak, terutamanya muzik dan pembuat alat muzik tradisional.
Dengan berkongsi cerita-cerita seperti yang disampaikan oleh penjaga warisan asli, mereka berharap agar usaha ini dapat meningkatkan minat orang ramai khususnya rakyat Malaysia, tanpa mengira usia, di dalam dan luar negara dalam melestarikan budaya Malaysia Timur.
Alena bersama kigurannya semakin berkembang dari segi ahli dan juga bunyi-bunyian sejak beberapa tahun kebelakangan. Diterbitkan oleh sepupunya Joshua Maran dengan beberapa pemuzik lain yang turut menyumbang untuk album ini, antaranya Jonathan Wong Ketshin, Herman Ramanado, Jimmy Chong, Derrick Siow dan Niko Coyez.
Alat muzik yang digunakan dalam album ini juga merupakan alat muzik asli peribumi Borneo seperti Sape’, Tubong, Pagang, Tikar Rotan dan juga beberapa alat muzik budaya seperti serunai, gendang, loceng serta beberapa alat muzik komersial seperti gitar, bass dan dram.
Mereka menampilkan bunyian baharu dengan pengaruh muzik berbeza. Ia genre muzik yang agak sukar untuk disampaikan. Boleh dikatakan Sky Songs memadukan genre folk pop, folk rock dan world music.
Album ini disertakan terjemahan bahasa Inggeris, cerita dan ilustrasi dan gambar-gambar pemandangan tanah tinggi, langit dan gunung-ganang.
Penerbitan Sky Songs turut disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Yayasan Budaya Dayak Sarawak.
“Saya sangat gembira dengan pelancaran Sky Songs. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan album, kepada ahli kumpulan saya dan terutama KKMM kerana menyokong penggiat seni tempatan menerusi Dana Kandungan Digital serta Yayasan Budaya Dayak Sarawak,” akhiri Alena syukur.
Sky Songs boleh didengari di semua platform digital serta album fizikal Sky Song boleh didapati di Tandang Store.
Cetera Alena Murang
Alena Murang adalah seorang penyanyi dan penulis lirik serta pemain sape’ profesional wanita pertama. Sape’ ialah alat muzik kecapi bertali tradisional dari Borneo, khususnya Sarawak.
Alena selalu mendengar lagu-lagu, muzik dan cerita-cerita rakyat dari warga emas Kelabit dan Kenyah, lalu Alena menyampaikannya secara kontemporari. Alena turut menyanyi dan menulis lagu-lagu ciptaannya sendiri.
Istimewanya, Mathew Ngau Jau, seorang pemuzik sape’ Sarawak yang terkemuka bukan sahaja di Malaysia, malah serata dunia adalah mentor kepada Alena.
Kira-kira 20 tahun yang lalu, Alena menyertai program kebangkitan sape’ dan dia menuntut ilmu dengan Mathew sebagai pelajar pertama.
Terbaharu, Alena baru sahaja menerima Anugerah Pengiktirafan Khas daripada Kerajaan Negeri Sarawak pada Mac 2021. – Getaran, 11 April 2021
Semua gambar: Alif Omar