Kehangatan di dapur kian terasa kerana kini tiba masanya untuk kemahiran para jaguh memasak diuji di medan ‘Dapur Tempur’!
Program realiti masakan terbaharu di saluran TV9 ini membawakan lapan pasangan keluarga yang unik, dinamik dan mempunyai minat memasak untuk bertanding di ‘Dapur Tempur’.
Pengurus Besar, Pengurusan Kandungan dan Siaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman berkata, pihaknya amat teruja dengan program tersebut kerana ia merupakan program realiti masakan pertama selepas saluran TV9 melalui penjenamaan semula, tahun lalu.
“Untuk program ‘Dapur Tempur’ ini, kami mengharapkan seisi keluarga dapat menonton bersama-sama kerana di dalam program ini, kita bukan sahaja dapat lihat peserta belajar memasak, tetapi ada pelbagai drama di dalamnya.
“Ada detik cemas, gembira dan kita juga dapat lihat mereka mencapai satu keserasian dalam masakan”, katanya pada sidang media program realiti terbaharu ini di Sunway Geo Avenue.
Menurut Khairunisa, penaja bersama Panasonic dan NONA yang turut sama memeriahkan lagi program ‘Dapur Tempur’.
Tambahnya, sesi uji bakat telah diadakan seawal Februari 2022 untuk mencari pasangan keluarga yang mahir memasak kerana kumpulan peserta terpilih perlu menyediakan dua hidangan menarik mengikut tema yang telah ditetapkan setiap minggu.
“Lebih menarik lagi, terdapat cabaran yang akan menguji kebolehan dan kesabaran peserta untuk memasak di bawah tekanan,” ujarnya.
Program ‘Dapur Tempur’ ini akan dihoskan oleh selebriti terkenal Yasmin Hani, manakala peserta akan diadili juri cef selebriti, Chef Adu dan selebriti terkenal dan ikon Sheila Rusly.
Setiap episod juga bakal menampilkan beberapa juri jemputan seperti Naim Daniel, Ayda Jebat, Michael Ang serta ramai lagi.
‘Dapur Tempur’ yang bakal bersiaran sebanyak lapan episod akan menemui penonton bermula 3 November 2022, setiap hari Khamis, jam 8.30 malam di TV9 dan juga melalui strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.
Juaranya bakal memenangi hadiah wang tunai RM6,000 berserta ketuhar stim cubie Panasonic dan bekalan produk NONA selama setahun manakala naib juara bakal memenangi hadiah wang tunai RM4,000 dan periuk nasi IH Panasonic.
Pemenang mingguan pula bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM500 ringgit tajaan NONA manakala pemenang cabaran NONA dalam episod-episod tertentu membawa pulang hamper produk NONA bernilai RM1,000. - Getaran, 22 Oktober 2022.