Pendigitalan menjadi alternatif utama kepada semua pihak, terutamanya apabila satu dunia dilanda pendamik COVID-19.
Bukan hanya sektor pendidikan, sektor kerajaan malah sektor pelancongan negara turut mengorak langkah menjurus ke arah pendigitalan atau digitalisasi selaras dengan perubahan negara.
Hanya dengan satu klik pada butang ‘Book Online Now’, tempahan percutian sekeluarga kini boleh dinikmati oleh semua.
Selaras dengan kemajuan negara ini, Travelwalla, sebuah platform tempahan percutian dalam talian menjadi rakan percutian dalam talian (OTP) pertama di Malaysia.
Platform Travelwalla ini, mampu menjadi pencipta solusi percutian yang khusus dengan autonomi penuh sambil memperkasakan kedua-dua rakan industri dan para pengguna.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Travelwalla, Mohammed Amin Mohammed Sidek, idea Travelwalla tercetus ketika negara ini masih memerangi pandemik COVID-19 ini, dan dibangunkan untuk mengolah sektor pelancongan yang matang dan sukar menerima perubahan, melalui solusi yang inovatif.
“Travelwalla dicetus untuk mendorong perubahan industri, buat para penggiat utama dalam ekosistem pelancongan dan juga konsumer.
“Kami membayangkan solusi yang intuitif dan mudah dinilai, sambil menawarkan lebih banyak pilihan buat pengguna,” katanya.
Menurut Amin, Travelwalla merupakan pelopor trend percutian terbaharu dengan pemerkasaan kepada rakan industri pelancongan, bagi mengurangkan kebergantungan kepada laman web pihak ketiga selain menawarkan pengalaman pelancongan menarik.
Amin turut berkata, Travelwalla juga diwujudkan bagi mendorong perubahan industri dalam ekosistem pelancongan dan juga pengguna dengan menawarkan lebih banyak pilihan penempahan kepada mereka.
Tambahnya, Travelwalla telah meraih nilai kontrak lebih RM20 juta untuk hartanah yang tersenarai di laman webnya dalam tempoh beberapa minggu selepas pelancaran laman webnya, 'Jadilah Rakan'.
“Malah, ia bakal mempunyai inventori lebih 60,000 hartanah untuk pilihan pengguna yang menempah percutian mereka melalui laman sesawangnya.
“Bagi setiap tempahan yang dilengkapkan, Travelwalla menyimpan 12 peratus daripada harga jualan, sehingga jumlah yang disimpan mencapai harga langganan tahunan yang dipersetujui.
“Model ini, yang pertama dengan konsep sedemikian, akan menyaksikan penjimatan oleh hotel sebanyak 90 peratus komisen yang dibayar kepada ejen percutian dalam talian (OTA) antarabangsa," katanya.
Menurut Amin lagi, Travelwalla mewujudkan daya penggerak sambungan langsung atau ‘direct push connectivity’ dengan rantaian hotel besar dan global, selepas bersepadu dengan pengurus saluran berskala besar seperti RateGain, sebuah platform teknologi percutian ulung dan platform DHISCO Switch miliknya.
Katanya, kedua-dua teknologi membenarkan hotel yang tersenarai meluaskan jangkauan dan keberadaan dalam talian sambil mengurus harga, ketersediaan dan tempahan dengan mudah melalui aneka solusi yang dikuasakan ‘AI’ atau kecerdasan buatan.
Platform itu turut membuka jalan kepada para pengusaha hotel dan pemilik perniagaan untuk mengaut keuntungan semasa sektor pelancongan pesat berkembang, tanpa dibelenggu kadar komisyen tinggi yang dikenakan oleh syarikat-syarikat besar. – Getaran, 5 November 2022