Rata-rata pusat beli-belah kini pasti dihiasi dengan dekorasi Krismas yang cantik dan kreatif menjelang musim perayaan tersebut yang akan disambut esok.
Hiasan Krismas di pusat beli-belah ini membawa kegembiraan dan akan menyemarakkan semangat perayaan ini.
Ambil peluang anda untuk ‘mencuci mata’ sambil bergambar bersama hiasan yang pastinya memukau mata dengan mengunjungi lapan pusat beli-belah utama di sekitar Selangor.
Sunway Pyramid, Subang Jaya
Sunway Pyramid, Subang Jaya mengenakan tema untuk hiasan Krismas tahun ini yang dipanggil Wander Wonder, di mana ia dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan gergasi yang cantik, cendawan bercahaya, rama-rama dan juga pari-pari untuk anda merasai keajaibannya.
Dalam usaha meningkatkan kestabilan alam sekitar, beberapa hiasan telah dibuat menggunakan bahan kitar semula.
Anda juga boleh melawati ‘wishing pond’ dan berikan ucapan Krismas khas untuk orang yang anda sayangi pada musim percutian ini.
One Utama, Petaling Jaya
Bagi pusat membeli belah 1 UTAMA Shopping Centre, premis ini dihiasi dengan pelbagai jenis hiasan Krismas yang bertemakan Alps. Pemandangan cantik bersalji ini perlu dikunjungi dan jangan sesekali melepskan peluang untuk merakamkan gambar atau ‘OOTD’ di sini.
Menariknya, ia menampilkan pembuatan semula Pergunungan Alps Switzerland yang terletak di atas terowong kereta api.
Anda boleh alami pengalaman berjalan-jalan ke replika bandar pergunungan Alpa di atas laluan berbatu atau bergambar dalam gerabak vintaj kereta api wap British untuk pulang semula ke masa lalu!
Setia City Mall, Shah Alam
Tiada keriangan yang lebih seronok menggambarkan Krismas selain tema ‘Winter Wonderland’ yang sinonim dengan perayaan ini.
Setia City Mall kini dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni di atas istana buatan yang besar di dalam pusat beli-belah ini.
Masuk ke dunia perayaan yang penuh kemeriahan dengan menerokai kawasan bersalji yang dikelilingi penguin dan rusa kutub yang bercahaya. Anda juga boleh bergambar di bawah kubah akrilik.
Malah pada hujung minggu pula terdapat persembahan yang menarik seperti Meet and Greet bersama Santa, lagu Krismas dan Tarian Ballerina.
The Curve, Damansara
Nikmatilah musim percutian ini bersama Enchanted Christmas Celebration di The Curve, Damansara.
Pengunjung juga boleh bergambar bersama Santa dan Sleigh (kenderaan membawa hadiah) yang besar dan penuh dengan hadiah di aras bawah.
Ia turut mengenakan dekorasi Krismas merah, putih dan hijau yang klasik serta dihiasi emas. Anda juga boleh saksikan persembahan daripada sekumpulan pari-pari sempena musim percutian ini.
Mitsui Outlet Park KLIA, Sepang
Raikan ‘Christmas Bunny Wonderland’ di Mitsui Outlet Park KLIA, Sepang. Saksikan hiasan Krismas yang dipenuhi dengan boneka dan arnab yang comel. Terokai alam ajaib yang penuh dengan pokok Krismas dan meja yang dihiasi bertemakan tea party.
Anda juga boleh bawa anak-anak ke bengkel seni dan kraf Krismas sebagai salah satu aktiviti yang menyeronokkan untuk mengisi masa lapang mereka.
Di sini, anda boleh melawat ke Christmas Market sambil membeli belah dengan tawaran yang istimewa.
Paradigm Mall , Petaling Jaya
Mengimpikan untuk melihat salji? Kini anda boleh merasainya sendiri di Paradigm Mall. Alami detik Krismas yang ajaib di Elf Village pada musim percutian ini beserta salji yang akan turun setiap hujung minggu pada pukul 1 petang dan 5 petang.
Jadi, pastikan anda tidak ketinggalan dan berpakaianlah dengan pakaian terbaik anda sambil bergambar dengan hiasan Krismas yang tersedia. Turut dipersembahan lagu Krismas, persembahan bakat, muzik dan koir diadakan sambil meraikan percutian ini bersama Santa dan pembantu elf!
I City, Shah Alam
Jika anda berkunjung ke i City Shah Alam, lawati Brown dan Cony di rumah LINEFRIENDS di Central Concourse, aras bawah.
Ambil gambar bersama watak yang comel daripada aplikasi LINE serta pokok Krismas yang menjulang tinggi. Malah, terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk anda lakukan di situ.
IOI Mall, Puchong
Raikan ‘Merry Fairy Christmas’ di IOI Mall Puchong dan pengunjung boleh menikmati hari yang menggembirakan di alam ajaib bertemakan pari-pari yang dipenuhi cendawan hutan, fairy lamps serta persembahan daripada sekumpulan pari-pari.
Malah anda boleh menyertai bengkel penghasilan perhiasan Krismas yang dianjurkan dan menonton pertunjukan yang menarik di sini. Selain itu, anak-anak anda juga disarankan untuk mengunjungi dunia fairyland dan masuk ke dunia dongeng yang penuh kilauan di premis ini.
Di kesempatan ini juga, Getaran mengucapkan selamat menyambut Hari Natal buat semua penganut agama Kristian di negara ini dan selamat bercuti. - Getaran, 24 Disember 2022