Selain unggul sebagai sebuah destinasi pelancongan, negara jiran kita Singapura turut terkenal sebagai sebuah ‘syurga makanan’. Ini kerana terdapat banyak pilihan makanan dari pelbagai pelusuk dunia.
Sungguhpun begitu tidak semua tempat makan di Kota Singa itu menjual makanan yang halal dan boleh dimakan oleh mereka yang beragama Islam.
Minggu ini, kami kongsikan lima tempat makan menarik di Singapura yang menyajikan makanan halal. Siapa tahu, mungkin selesai pandemik COVID-19 nanti, kita boleh ke sana dan mencubanya.
1. Kafe Momolato
Alamat : 34, Haji Lane
Sejak akhir-akhir ini, trend bagi rakyat bukan Melayu di Singapura untuk menyediakan gelato halal semakin menyerlah.
Sebagai satu-satunya pemborong gelato halal di Singapura yang terbesar dan pernah memenangi anugerah di pusingan akhir jelajah dunia gelato, Momolato adalah nama yang tidak boleh dilupakan bagi peminat tegar gelato halal. Malah mereka juga pembekal kepada restoran-restoran, aneka hotel dan kafe halal.
Dengan 18 pilihan gelato termasuk Watermelon Soursop, Ondeh-Ondeh Sweet Yam, Oolong Hojicha Tiramisu, Mao Shan Wang dan popsicle Spritzers seperti Watermelon Kiwi Pop dan Cocunut Water Lychee yang menggiurkan ia mesti anda cuba jika anda peminat aiskrim!
2. Restoran Regale
Alamat: Warren Golf & Country Club, 81 Chua Chu Kang Way
Nasi Ambeng Regale pernah memenangi Anugerah Halal 2020 di Singapura dan dinobatkan terbaik di Singapura. Nasi ambeng popular ini berasal dari Jawa, Indonesia dan dihidangkan di atas dulang membuatkan penggemar nasi ambeng dapat berkongsi bersama!
Nasi putih disajikan lengkap dengan rendang daging, ayam lemak cili padi, sambal goreng, sambal telur, terung berlado, ikan kering, acar timun, paru timun, bergedil, paru goreng dan serunding. Pakej termasuk kurma, bubur, kuih-muih dan air bandung. Enak dan sangat mengenyangkan jika dicuba! Memang puas hati!
Bak kata orang Singapura “Gerek Seh!” Apatah lagi kala menikmati sajian dengan pemandangan kolam renang yang indah. Sangat berlainan sekali.
3. The Mad Sailors
Alamat: 24, Haji Lane
Restoran ala Mat Salleh ini terletak di kawasan Kampong Glam. Dikenali dengan pelbagai variasi fish and chips mereka termasuk Masala Fish & Chips, Sambal Fish & Chips ala British.
Mereka menyajikan menu seperti seperti Fish & Chips, Chicken Confit atau Aged Bull Ribeye. Pembuka selera premium pula seperti Mussels & Clams, udang bawang putih, dan sotong. Terdapat Homemade Carrot Cake dan Eton Mess (Meringue) kesemua ala British bagi anda yang inginkan kelainan.
Aneka pilihan minuman di The Mad Sailors juga agak menarik seperti Midnight Mariner, Journey to Colombo dan Butterscotch Soda untuk menghilangkan rasa dahaga anda!
4. StuffedWing Lab
Alamat: 324F Changi Road, Singapura
Restoran halal yang dikenali dengan stik Tomahawk King enak khusus untuk penggemar stik gergasi. Stik Tomahawk menyerupai kapak di mana restoran ini hanya membawakan daging ‘grain-fed’ yang terbaik dari Australia sahaja.
Anda berpeluang menjamu selera bertaraf Michelin Star kerana mereka menyajikan Epic feast ( 4-6 orang) atau Titan feast (6-8 orang) dan hidangan lain juga.
Sajian Epic feast termasuk stik Tomahawk, Satsuma Wagyu Rendang dengan 6 Mantou, Tomalamb, ikan Hoki Tempura, Smoky BBQ Boneless Wings, Ketam Farci, Garden Salad, Cheesy fries dan minuman. Cheesy Stuffed Wing di sini juga antara yang terlaris di Singapura.
5. Restoran Tash Tish Tosh
Alamat: #01-02, Marine Cove dan 50 Kandahar Street
Tash Tish Tosh harus anda kunjungi untuk tulang yang paling lazat di Singapura. Terdapat Signature Battleship, Mothership, Destroyer Toolang dan Burger Toolang yang cukup unik di sini.
Signature Battleship Toolang diletakkan di atas pizza base memudahkan anda untuk sedut tulang sumsum dengan penyedut!
Anda boleh juga mencuba Sumsum Toolang daging lembu (Beef Bone Marrow) Tash Tish Tosh untuk penggemar daging lembu pula. Lain dari lain!
Jelas terbukti, ini hanyalah singkapan ringkas tentang apa yang boleh kita nikmati andai ke Singapura. Jadi selesai pandemik nanti, segeralah seberang tambak untuk menikmati kesemua sajian lazat ini. – Getaran, 9 Mei 2021.