Bekerja dari rumah sudah menjadi perkara biasa sejak pandemik COVID-19 melanda dunia. Memang benar, bekerja dari rumah memberi fleksibiliti dan memudahkan individu melakukan rutin harian sambil bekerja, namun kadangkala mood bekerja menjadi agak terganggu kerana terkurung dalam ruangan sama untuk tempoh yang lama.
Jadi, jika anda salah seorang yang masih menikmati kelonggaran bekerja emedari rumah, bolehlah cari kafe yang bersesuaian, mesra bekerja dan memberikan mood santai. Selain itu, pastikan kafe yang ingin dipilih itu memberi akses internet serta mempunyai pelbagai juadah untuk menjamu selera.
Istimewa untuk anda yang tinggal berhampiran Pavilion Bukit Jalil, di sini terdapat beberapa cadangan kafe yang boleh anda kunjungi untuk melunaskan tugasan pejabat anda. Jom segarkan minda dengan hirupan kopi segar!
1. Bukit Jalil Tsutaya Books, Aras 2, Zon Oren
Pilihan ideal untuk penggemar buku, Bukit Jalil Tsutaya Books merupakan lokasi unik kerana anda akan dikelilingi pelbagai judul dan kategori buku. Lokasi ini turut menyediakan ruangan kondusif dan selesa.
Ini bermakna, anda boleh melakukan kerja sambil menikmati pelbagai pilihan juadah yang terdapat di kafe. Dari sepinggan penkek gebu tiga perisa yang lazat, puding kastard yang disiram dengan sirap karamel buatan sendiri, sehinggalah secawan kopi kisaran segar. Jika mahu pengalaman menjamu selera lebih istimewa, jangan lupa bertanya tentang menu istimewa bulanan mereka.
2. Artelier Coffee, Aras 5, Zon Oren
Jika anda mencari ruang yang tenang dan luas bagi melakukan tugasan dengan aman damai, Artelier Coffee adalah pilihan sesuai. Menyajikan pelbagai variasi teh dan kopi, serta ciptaan istimewa mereka Dirty Mocha dan Iced Filter Coffee, hidangan ini sesuai menemani anda sepanjang hari.
Nikmati menu terkini mereka, Colombia Gaitania, kopi kisaran padu yang dihasilkan daripada biji kopi terpilih demi pengalaman hirupan kopi terbaik. Selain itu, mereka juga menawarkan susu oat sebagai alternatif kepada produk tenusu.
3. Asuka Cafe, Aras 4, Zon Merah Jambu
Kafe yang satu ini ideal untuk mereka yang suka snacking untuk terus fokus bekerja. Asuka Cafe menawarkan pelbagai pilihan kudapan menarik seperti bagel, wafel dan kek mini yang manis dan savori, sepadan dengan citarasa anda.
Bagi mereka yang baru cuba-cuba minum kopi, Asaka Café mempunyai menu ‘mesra pelanggan’ kerana menu tersebut disertakan dengan visual bahan-bahan yang diadunkan ke dalam kopi mengikut permintaan. Selain kopi, ada juga pilihan minuman lain.
4. CO2 Coffee Bar, Aras 3, Zon Merah Jambu
Daya tarikan utama kafe ini ialah kopi pilihan pelanggan disediakan dengan menggunakan mesin kisar yang canggih serta disediakan secara langsung di hadapan pelanggan. Dengan reka bentuk dalaman yang artistik dan futuristik, mereka menyediakan tempat duduk yang selesa di dalam atau di bahagian luar kedai.
Jangan lupa pesan ‘cake in a can’ apabila anda perlu merehatkan mata daripada melihat komputer riba.
5. Flower Girl Coffee, Aras 5, Zon Oren
Melangkah masuk ke kafe ini, anda boleh menyerap tenaga yang segar dan tenang. Flower Girl Coffee mampu menyuntik mood kerja yang positif dengan dekorasi bercirikan tumbuh-tumbuhan dan bunga hiasan sebagai elemen utama kafe ini.
Begitu juga dengan persembahan makanan yang disediakan. Cantik dan menyelerakan. Ada smoothie, soda dan variasi minuman kopi yang menyegarkan. Selain itu, dengan dinding bata yang terhias indah, ianya sesuai dijadikan latar belakang yang sempurna untuk mesyuarat atas talian anda.
6. illy Caffè, Aras 3, Zon Oren
Tidak perlu diperkenalkan lagi kerana jenama kafe ini memang terkenal dengan kelazatan kopinya. Jika singgah ke sini, pasti anda akan terlihat ramai individu yang asyik dengan komputer riba masing-masing.
illy Caffe, merupakan sebuah kafe bergaya kontemporari, sesuai untuk mereka yang mencari lokasi untuk melakukan kerja sambil menikmati secawan kopi yang dipesan khas mengikut citarasa para pelanggannya.
Biji kopi yang berkualiti tinggi yang dipilih dari kawasan penanaman kopi terkemuka di seluruh dunia demi menghasilkan minuman kopi menawan dan penuh aroma dan dipadankan dengan pilihan menu meluas seperti sandwic, pastri dan kek lazat. Bagi mereka yang mencari ruang lebih besar untuk mengadakan sesi perbincangan dengan kapasiti yang besar, kafe ini turut menyediakan ruangan khas untuk digunakan.
7. San Francisco Coffee, Aras 3, Zon Merah Jambu
Menyajikan kopi beraroma tinggi, San Francisco Coffee menjanjikan biji kopi yang paling segar. Mereka sentiasa peka dengan kualiti biji kopi dengan mengasingkan kopi yang telah dipanggang lebih satu bulan, beg kopi yang telah dibuka lebih seminggu dan kopi yang dikisar lebih dari sehari. Kafe ini menawarkan kopi premium dan menu sarapan pagi dan pelbagai lagi.
Kafe ini juga menyediakan ruangan bekerja yang selesa yang sebati dengan bau-bauan kisaran kopi segar berlegar di udara demi membangkitkan semangat kepada anda untuk teruskan melakukan kerja dengan tenang.
Hirup kopi pilihan anda atau terokai kegemaran baharu anda dengan Coffee-of-the-Day mereka sambil menyiapkan tugasan anda.
8. Oppa Toast, Aras 5, Zon Merah Jambu
Bersuasana kasual dan menarik, Oppa Toast menawarkan lokasi santai kepada pelanggan yang ingin melakukan kerja sambil menjamu selera. Menyajikan lebih 10 jenis snek dan 30 jenis minuman yang yang memikat selera, anda pasti kekal fokus dengan tugasan yang perlu diselesaikan.
Nikmatilah secawan kopi hangat atau makan sandwic ciptaan khas kafe ini jika anda mahukan hidangan yang ringan di awal hari. Apabila perut mula berkeroncong, boleh cuba Ramen Korea pula.
Selamat menjalani minggu-minggu mendatang dengan cemerlang! - Getaran, 14 Ogos 2023
Foto : Pavilion Bukit Jalil