Perhatian kepada BTS ARMY! Pameran 'B★VERSE' (BTS, Singing the Stars) yang sangat dinanti-nantikan kini sudah berada di persinggahan pertama iaitu di Pavilion Bukit Jalil bermula 1 Disember hingga 10 Mac 2024.
Dianjurkan oleh The Fact Music Awards dan direka oleh Apollon Studio, 'B★VERSE' bukan sekadar pameran, tetapi ia menceritakan perjalanan penuh memori BTS dari 2020 hingga 2022, yang diinspirasikan daripada 'The Fact Bts Photobook Special Edition' yang mengandungi pelbagai foto sempena penampilan mereka di The Fact Music Awards 2020.
Pameran ini akan membawa pengunjung ke lapan sesi eksklusif di mana setiap satu akan menawarkan visual dan aktiviti istimewa, termasuk Bilik VR, Terowong Orbital, BTS Universe, 7 Planets, ARMY Way, Pemetaan Unjuran Imersif, Produk BTS, dan Zon Foto.
Kedua-dua Bilik VR dan Pemetaan Unjuran Imersif dilengkapi dengan sistem audio seperti konsert untuk mendengarkan lagu-lagu popular BTS untuk pengalaman mengasyikkan, manakala 7 Planets menawarkan pengalaman yang lain daripada yang lain.
Setiap bilik mewakili ahli BTS, dan pengunjung berpeluang untuk meneroka dunia dan ekspresi artistik setiap ahli, serta bagaimana keperibadian mereka menyumbang kepada identiti kolektif kumpulan.
“Kami sangat teruja untuk menyaksikan bagaimana Pameran 'B★VERSE' ini dapat memikat hati peminat BTS di Malaysia. Perjalanan unik melalui BTS Universe menjanjikan pengalaman yang menakjubkan, dan kami berbesar hati untuk membawakan pengalaman luar biasa ini ke landskap budaya tempatan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya Corporation Berhad, Cheah See Heong mewakili pihak penganjur.
Setakat ini, pihak penganjur memaklumkan bahawa jualan tiket pameran ini mendapat sambutan memberangsangkan dan ia bukan sahaja menjadi rebutan remaja, malah peminat daripada semua peringkat umur.
Jadi, jika anda salah seorang pencinta BTS, janganlah bertangguh-tangguh lagi untuk mendapatkan tiket. Bersedialah menikmati pengalaman yang sukar dilupakan! Belian boleh dilakukan di ejen tiket rasmi, Ticket2u.
Tiket-tiket untuk melangkah masuk ke BTS Universe dijual pada harga serendah RM88 untuk tiket biasa pada hari bekerja dan RM98 untuk hujung minggu. Harga eksklusif ini hanya terpakai sepanjang tempoh promosi dari 1 Disember 2023 sehingga 17 Disember 2023.
Selain itu, peminat yang membeli tiket pameran juga akan menerima hadiah percuma termasuk Ziplock pouch, lencana bintang ARMY yang menggunakan bateri, dan kad foto yang dipilih secara rawak.
Untuk menyempurnakan lagi pengalaman B★VERSE, para ARMY juga boleh membeli produk edisi terhad di pameran tersebut, seperti Fail BTS, Poskad BTS, Kalendar 2024, Risalah, Beg Tote dan Kemeja-T.
Untuk maklumat lanjut, kemas kini, atau untuk menyertai sambutan ARMY, sila layari ikuti akaun Instagram @bversemalaysia dan akaun TikTok @bversemalaysia. Selain itu, anda juga boleh melayari laman web rasmi pihak penganjur di https://www.senijayacorp.com/
Foto : @bversemalaysia