Musim hujan ini ada banyak risiko yang perlu dihadapi. Jika berhadapan dengan masalah banjir, banyak harta benda yang akan rosak sehingga tidak boleh digunakan lagi.
Tidak hanya rumah dan kenderaan, musim hujan dan banjir juga menjadi ancaman kepada kasut kesayangan. Lebih-lebih lagi jika kasut yang disarung adalah hasil menabung selama beberapa bulan. Jadi, agar kasut tidak mudah rosak dan berbau dek terkena air hujan dan banjir, lakukan langkah-langkah berikut:
1. Segera Cuci Bahagian Dalam
Apabila sampai di rumah segera tanggalkan kasut dan keluarkan tapak dalam jika ia boleh ditanggalkan. Bersihkan dan anginkannya supaya cepat kering. Jangan sesekali gunakan mesin pengering kerana ia boleh merosakkannya.
2. Bersihkan Lumpur Dan Kotoran Apabila Telah Kering
Jika masih terdapat sisa lumpur selepas ia kering, bersihkan menggunakan berus lembut atau berus gigi tanpa perlu merendamnya ke dalam air sekali lagi. Perhatikan pada celah-celah kasut kerana di situ lumpur atau kotoran mudah terkumpul.
3. Gunakan Kertas Untuk Keringkan Secara Perlahan-Lahan
Untuk kasut yang hanya basah tetapi tidak kotor, ini adalah penyelesaian terpantas. Bentangkan beberapa surat khabar lama dan letakkan di dalam kasut anda. Ini untuk memastikan bahawa kertas menyerap air dan mengekalkan bentuk kasut semasa ia kering. Anda mungkin perlu menukar surat khabar sekali-sekala jika ia terlalu basah. Akhir sekali, tutup kasut dengan surat khabar untuk mengeringkan bahagian luar juga.
4. Gunakan Alkohol
Jika kasut terendam dalam air banjir, bakteria masih boleh hidup dalam kasut jika tidak dibasmi. Selepas kasut anda kering, sapukan sedikit alkohol pada kasut. Selain itu, boleh juga meletakkan bedak kaki di dalamnya untuk menyingkirkan bau.
5. Hadkan Pendedahan Cahaya Matahari
Kebanyakan orang memilih untuk meletakkan kasut basah mereka di bawah matahari, ya cara ini juga ada betulnya. Mengeringkan kasut dengan cara ini mungkin cara terbaik kerana ia juga boleh menghilangkan bau yang tidak diingini.
Tetapi membiarkan kasut anda kering di bawah matahari boleh menyebabkan kasut anda menjadi kering dan rapuh selepas itu.
6. Gunakan Hidrogen Peroksida
Kasut kanvas memang mudah kotor, ia sangat mudah untuk dibersihkan. Untuk pembersihan mendalam, buat campuran 50-50 air dan hidrogen peroksida, dan kemudian tambahkan sedikit soda penaik. Gunakan ini untuk menggosok perlahan-lahan semua bahagian kanvas kasut anda.
7. Jangan Lupakan Tali
Jika kasut anda bertali, jangan lupa membersihkannya. Tali yang kotor boleh merosakkan penampilan kasut, lebih-lebih lagi jika ia berwarna putih. Rendam tali kasut di dalam air sabun selama setengah jam. Setelah itu cuci sehingga bersih dan keringkan.
8. Beri Perlindungan Untuk Kasut Kulit Dan Baldu
Kasut kulit dan baldu cara penjagaannya sedikit berbeza. Jadi alangkah baiknya jika anda menggunakan cecair pelindung untuk kasut jenis ini. Ia akan membuat kotoran tidak mudah melekat dan lebih mudah dibersihkan di lain kali.
9. Perlindungan Ekstra Untuk Kasut Putih
Jika sebelum ini anda tidak mempraktikkannya, cubalah amalkan selepas ini. Sebelum memakai kasut putih untuk pertama kali, semburkan white sneakers water repellent untuk memberi perlindungan pertama supaya ia tidak mudah terpalit kotoran dan berubah warna.
Pemakaian water repellent ini sudah pasti memberi manfaat apabila kasut anda terpaksa meredah hujan atau terkena air banjir.
10. Simpan Dengan Betul
Setiap kali selepas dipakai, simpan kasut anda dengan betul. Jangan biarkannya bersepah-sepah. Jika rumah anda berada di kawasan banjir dan sering dimasuki air, sebaiknya letakkan di tempat yang kering dan tidak terjangkau genangan air. - Getaran, 10 Disember 2023