PETALING JAYA - Tiga syarikat di Selangor dipilih untuk mengikuti program SAY ASPIRE selepas berjaya melepasi sesi 'pitching' atau pembentangan perniagaan di sini hari ini.
Innersejuk, Joielle Baby dan Storeup terpilih daripada 10 syarikat, selepas idea perniagaan masing-masing berjaya menambat hati panel juri.
Turut menjadi juri pada pertandingan itu adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Tengku Amir bertitah, baginda amat teruja kerana peserta SAY ASPIRE pada kali ini merupakan usahawan yang telah berjaya membawa nama produk dan negara ke persada dunia.
"Sangat mencabar untuk saya menjadi juri pada tahun ini kerana kesemua peserta mempunyai idea yang menarik dan ada potensi menjadi pemenang.
"Bukan senang untuk mencapai kejayaan dan saya ucapkan tahniah kepada peserta dan pemenang," titah baginda selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang di Sunway Resort Hotel & Spa, hari ini.
Selain Raja Muda Selangor, turut menjadi juri adalah EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail; Pakar Eksport Malaysian Exports Academy, Datuk Zakaria Kamarudin; Ketua Pegawai Eksekutif dari SME Corp, Rizal Nainy; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dari MATRADE, Abu Bakar Yusof.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Innersejuk, Azrul Izzam Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan mengambil peluang untuk melihat bagaimana prestasi syarikat boleh ditambah baik selepas menjalani program ini.
"Kami berasa teruja dan terkejut dan tak sangka boleh capai kemenangan kerana ini kali pertama kami masuk pertandingan business dan dengan kejayaan ini kami dapat kembangkan produk kami ke pasaran antarabangsa sebagai pakaian sukan muslimah di seluruh dunia.
"Sasaran kita untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perancis kerana tiga negara ini merupakan pintu pasaran perniagaan muslim di seluruh dunia yang akan memudahkan kami untuk berkembang di negara lain, khasnya Asia Barat, "katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Store Up, Huzaifah Sulaiman berkata, program ini dapat membantu syarikatnya lebih berdaya saing.
"Sebagai usahawan, program ini menawarkan peluang untuk produk dari Selangor ke pasaran global.
"Kalau bersendirian, mungkin dapat dicapai juga, tetapi proses itu akan lebih perlahan dan dengan kemenangan ini, kita akan lebih dikenali di mata dunia," katanya.
SAY ASPIRE merupakan sebuah program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan khidmat mereka ke pasaran global, melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.
Tiga pemenang itu akan menerima tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan, bimbingan khas secara individu untuk membantu usahawan mematerialisasikan impian eksport mereka.
Selain itu, mereka akan berpeluang menerima imbuhan dan pelaburan perniagaan, rangkaian kolaborasi bersama agensi yang berkaitan, trofi dan sijil, serta penginapan 2 hari 1 malam di St Regis Langkawi kepada pemenang utama. - Getaran, 27 Januari 2022.