WALAUPUN saban hari, dia berjaya menggembirakan orang ramai dengan aksi badut, tiada bayaran lumayan yang diraih. Cukup sekadar melihat kanak-kanak gembira dan ibu bapa tersenyum, hatinya sudah cukup puas.
Namun, menggembirakan orang ramai sahaja tidak cukup. Roslee Yusop, 55, atau lebih dikenali sebagai Uncle Ting Tong, merasakan, tanggungjawab untuk menyelitkan semangat patriotik sempena ketibaan sambutan kemerdekaan negara kali ini perlu dilakukan.
Menjadi satu-satunya penggiat seni badut kaki panjang yang menggayakan corak Jalur Gemilang sebagai ‘seragamnya’, seniman jalanan ini semakin giat berkarya menjelang sambutan kemerdekaan negara ke-65, hari ini.
“Seni saya sememangnya hanya untuk menghiburkan orang awam, namun dalam masa sama saya mahu menyuntik semangat kecintaan terhadap negara. Ini antara tujuan saya memilih kostum menggunakan corak Jalur Gemilang.
“Walaupun usaha saya ini tidak pernah menjanjikan pendapatan tetap, tetapi saya teruskan kerana minat yang mendalam. Saya akan teruskan… selagi masih ada kudrat, saya akan teruskan sehingga usia 70 tahun,” ujar Rosless.
Setelah 11 tahun bergiat secara aktif, Roslee pernah menyertai kelab-kelab badut pada tahun 2011 namun memilih untuk kembali bergerak secara solo.
Bagaimanapun, tiada siapa yang sangka di sebalik senyum tawa menghiburkan orang ramai, terdapat 1,001 duka yang harus ditelannya sendiri.
Ini kerana kesemua anaknya menghidapi penyakit genetik sel darah merah, talasemia, sejak lahir yang memerlukan kekerapan rawatan susulan.
Namun itu tidak melunturkan semangat anak lelaki tunggal Roslee, Muhammad Nirwan, 19, bagi menyambung legasi aksi badut jalanan bapanya.
Dedikasi yang ditonjolkan Roslee, telah berjaya menarik minat Muhammad Nirwan untuk meneruskan aksi bapanya menghiburkan orang ramai di jalanan.
Bagi Muhammad Nirwan, minatnya tidak dipaksa sesiapa dan seperti ayahnya, dia sanggup meluangkan kebanyakan masa untuk menghiburkan orang awam.
“Sejak dari kecil memang saya akan ikut apa yang ayah buat. Mula-mula saya perhatikan dahulu lenggok dan kaedahnya sehingga saya mampu buat sendiri.
“Dalam masa sama, ayah juga memang berikan galakan kepada saya untuk teruskan seni jalanan ini,” kata Muhammad Nirwan yang kini masih mengikuti rawatan susulan talasemia di Hospital Ampang.
Jurufoto Getaran, ALIF OMAR, menyelami hati Uncle Ting Tong sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini. - Getaran, 31 Ogos 2022